1.0 PENGENALAN
Berdasarkan soalan tugasan bagi kursus Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru (EDU 3108),iaitu pemilihan artikel berkaitan isu guru atau keguruan, saya telah memilih isu berkaitan ‘Ke Arah Sistem Pendidikan Holistik’ yang dipetik daripada akhbar perdana Utusan Online bertarikh 20 Mac 2012. Artikel ini telah ditulis oleh Rohami Shafie mengenai rombakan dasar pendidikan yang telah diumumkan oleh pihak kerajaan. Kandungan bagi artikel yang ditulis ini berkisar mengenai sistem pendidikan yang telah lama tidak dirombak sejak tahun 1979. Panel Pelan Pembangunan Pendidikan dan Perancangan Strategik Sistem Pendidikan telah ditubuhkan bagi mengadakan siri dialog pendidikan nasional bagi membincangkan kelemahan yang terdapat dalam sistem pendidikan Negara yang perlu ditangani segera.
Kelemahan yang dapat dikesan dalam sistem pendidikan Negara pada masa ini ialah dimana sistem telalu menumpukan aspek kejayaan meritokrasi melalui penilaian berasaskan peperiksaan dengan meminggirkan aspek akhlak mulia pelajar. Penerapan akhlak dan adab mulia pada pelajar sepatutnya menjadi keutamaan bagi membentuk karekter para pelajar memandangkan masalah sosial yang kian membelenggu generasi muda pada masa kini. Kepentingan adab dan akhlak bagi para pelajar menurut artikel ini adalah perlu bagi memastikan pembentukan sifat-sifat mulia di kalangan generasi pada masa hadapan seperti jujur, amanah, bertanggungjawab, sabar, tabah, cekal, yakin pada diri sendiri, mempunyai jati diri yang tinggi dan berani menyuarakan pendapat dengan cara berhemah.
Penulis turut menyatakan kesan daripada pengabaian adab dan akhlak dalam sistem pendidikan Negara kepada para pelajar. Antara kesan yang terkandung dalam artikel ialah sekiranya sistem pendidikan dapat membentuk ilmuwan yang hebat ilmunya, namun jika tanpa akhlak yang membentuknya maka mereka akan menggunakan ilmu tersebut untuk tujuan membangga diri, riak dan takbur dengan ilmu yang sedikit itu. Kesan-kesan lain yang dinyatakan ialah walaupun ramai golongan yang kaya-raya dapat dilahirkan namun tanpa akhlak yang baik, mereka menjadi lokek dan tidak sanggup membantu golongan miskin yang memerlukan.
Berdasarkan penerangan serba sedikit mengenai artikel yang dipilih iaitu, ‘Ke arah Sistem Pendidikan Holistik’ yang ditulis oleh Rohami Shafie, tujuan saya memilih artikel ini adalah bagi melihat implikasi rombakan sistem pendidikan di Malaysia kepada para pendidik. Aspek yang ingin saya ketengahkan dalam ulasan artikel ini ialah peranan guru dan kandungan ilmu pengetahuan oleh guru kesan daripada rombakan sistem pendidikan Negara.
2.0 PERKEMBANGAN ISI
Sebelum mendalami proses perkembangan dalam sistem pendidikan di Malaysia, definisi dan makna bagi pendidikan akan diterjemahkan terlebih dahulu. Definisi pendidikan menurut John Dewey yang ditulis dalam Pengantar Pendidikan TERAS ialah pendidikan sebagai proses perkembangan individu. Pendidikan juga merupakan usaha bagi mengatur ilmu pengetahuan bagi menambahkan lagi ilmu pengetahuan semula jadi yang ada supaya kehidupan akan menjadi lebih berguna dan selamat. Pendapat tokoh yang lain pula ialah daripada Sharifah Alwiah Alsagoff yang menyatakan bahawa pendidikan merupakan proses atau aktiviti seperti yang berikut:
1) Pendidikan sebagai proses persekolahan formal.
2) Pendidikan sebagai proses latihan.
3) Pendidikan sebagai proses perkembangan fizikal, intelek, sosial dan emosi seseorang individu.
4) Pendidikan sebagai proses indoktrinasi dengan tujuan agar pelajar akan mempercayai apa yang disampaikan.
5) Pendidikan sebagai proses yangberterusan untuk kemajuan individu seumur hidup.
6) Pendidikan sebagai aktiviti yang bersepadu untuk mencapaimatlamat seperti memperoleh kemahiran pengetahuan dan sikap dengan intergasi.
7) Pendidikan sebagai suatu disiplin, seni dan sains.
Ulasan bagi subtopik ini mengetengahkan mengenai perjalanan perkembangan sistem pendidikan dan berfokuskan kepada perspektif guru. Sistem pendidikan di Malaysia telah bermula sebelum merdeka iaitu dari tahun 1400 hingga tahun 1956. Berikut merupakan Rajah 1 yang menunjukkan sistem pendidikan sebelum merdeka.
Rajah 1. Sistem Pendidikan Sebelum Merdeka (1400-1956)
(Dipetik daripada Choong, L.K (2009). Falsafah dan Pendidikan di Malaysia. Selangor: Kumpulan Budiman.)
Sistem pendidikan sebelum merdeka terbahagi kepada dua fasa, iaitu sebelum zaman kolonialisme British dari tahun 1400 hingga 1786 di mana ianya adalah berpaksikan pada ajaran agama Islam yang diadakan di rumah-rumah guru, di masjid, surau, madrasah dan di institusi agama. Pelajar pada zaman tersebut mempelajari ilmu tauhid, Al-Quran, Fiqh, Hadith, Nahu, Sufi, Tasawwuf dan Akhlaq, Bahasa Arab dan Tulisan Jawi. Pada fasa kedua, iaitu semasa zaman kolonialisme British dari tahun 1786 hingga 1956 yang terbahagi kepada dua peringkat, iaitu sebelum perang dunia kedua dan selepas perang dunia kedua. Terdapat lima kategori dalam era pendidikan pada zaman ini iaitu, pendidikan rendah, pendidikan menengah, latihan perguruan, pendidikan vokasional dan teknik serta pendidikan tinggi.
Latihan perguruan semasa zaman kolonialisme British mempunyai beberapa masalah akibat daripada pengambilan guru-guru dari England bagi mengajar di sekolah-sekolah di Malaysia seperti:
1) Tangga gaji yang rendah lalu menyebabkan ramai guru meletak jawatan dan berhenti perkhidmatan.
2) Kecenderungan kaum perempuan yang rendah untuk menjadi guru.
3) Situasi yang mengecewakan bagi latihan perguruan Melayu.
Walau bagaimanapun, masalah-masalah ini telah diambil perhatian apabila Jawatankuasa Wooley pada tahun 1870 telah mengkaji bahawa keperluan kepada lebih ramai guru yang terlatih dan mempunyai kelayakan tinggi. Masalah kekurangan guru terlatih diatasi melalui pembinaan maktab-maktab perguruan. Di samping itu, kekurangan bahan bacaan dan rujukan dalam bahasa Melayu telah diatasi apabila pihak British telah menubuhkan sebuah pusat yang dikenali sebagai Biro Penterjemahan yang terletak di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim pada tahun 1942.
Kemudiannya, sistem pendidikan di Malaysia terus berkembang seiring dengan anjakan masa ke masa dengan pelbagai lagi penambahbaikan. Berikut merupakan Rajah 2 yang menunjukkan penyata pendidikan selepas merdeka.
Rajah 2. Penyata/Laporan Pendidikan Selepas Merdeka.
(Dipetik daripada Choong, L.K (2009). Falsafah dan Pendidikan di Malaysia. Selangor: Kumpulan Budiman
Bagi penyata Rahman Talib 1960 telah menyatakan bahawa bagi mengatasi masalah kekurangan guru di Sekolah Pelajaran Lanjutan, Jawatankuasa Penyata Rahman Talib telah mencadangkan kepada pihak Kementerian Pelajaran supaya menganjurkan latihan separuh masa kepada guru-guru selama tiga tahun . Sekolah Pelajaran Lanjutan adalah sekolah yang menawarkan kursus vokasional selama tiga tahun kepada murid-murid yang gagal memasuki sekolah akademik bagi memperoleh kemahiran-kemahiran dalam bidang pekerjaan. Hal ini penting bagi memberi pengetahuan kepada guru-guru untuk mendidik para pelajar menjadi individu yang berilmu. Namun begitu, ianya tidak dapat dilaksanakan dengan sepatutnya lalu rancangan Sekolah Pelajaran Lanjutan telah dimansuhkan dan dibuat penambahbaikan dengan menggantikannya dengan Sistem Pendidikan Aneka Jurusan yang bermula pada tahun 1965 bagi sekolah-sekolah menengah rendah. Bagi penyata pendidikan yang lain adalah lebih menjurus kepada matlamat untuk memberi lebih kelebihan kepada murid-murid.
Seterusnya, bidang pendidikan di Malaysia terus menunjukkan perkembangan melalui pengubahsuaian dari semasa ke semasa. Rajah 3 yang berikut menunjukkan perkembangan semasa pendidikan sehingga tahun 2010.
Rajah 3. Pendidikan Semasa.
(Dipetik daripada Choong, L.K (2009). Falsafah dan Pendidikan di Malaysia. Selangor: Kumpulan Budiman
Berdasarkan Akta Pendidikan 1996, terdapat dua tujuan utama iaitu, memantapkan lagi sistem pendidikan kebangsaan bagi generasi muda sejajar dengan aspirasi Negara menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan yang bermutu tinggi dan menggariskan perundangan yang berkaitan dengan bidang pendidikan. Melalui perkembangan daripada Akta Pendidikan 1996 yang kemudiannya terhasillah Dasar Pendidikan Kebangsaan di mana misinya adalah membangunkan sistem pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia bagi mengembangkan potensi individu secara menyeluruh serta memenuhi aspirasi Negara Malaysia. Objektif daripada pelaksanaan misi Kementerian Pendidikan ini pula ialah seperti berikut:
1) Melahirkan bangsa Malaysia yang bersifat taat setia dan bersatu padu.
2) Melahirkan warga Malaysia yang berilmu, beriman, berakhlak mulia, berketerampilan dan sejahtera.
3) Menyediakan sumber tenaga manusia untuk keperluan dan pembangunan Negara.
4) Menyediakan peluang-peluang pendidikan yang sama bagi semua warga negara Malaysia.
Melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan dapat dilihat bahawa strategi pelaksanaan yang menjurus ke arah penglibatan guru ialah meningkatkan kemudahan pendidikan dengan meningkatkan kuantiti dan kualiti guru, bilangan guru siswazah dan guru terlatih. Hal ini memberi kelebihan kepada guru di mana golongan pendidik ini dapat menimba pengetahuan dan memperkembang maklumat-maklumat yang seterusnya menyumbang kepada kemajuan bidang pendidikan.
Setelah melihat perkembangan sistem pendidikan Malaysia dari era sebelum kemerdekaan sehingga zaman semasa dapatlah dilihat bahawa sistem pendidikan terus mengalami kepesatan melalui pengubahsuaian dasarnya. Begitulah yang berlaku berdasarkan artikel ‘Ke Arah Sistem Pendidikan Holistik’ yang saya pilih. Sistem pendidikan yang berkembang ini memberi impak kepada guru sama ada melalui aspek pengajaran guru mahupun tugas-tugas lain seperti sistem pengurusan fail dan menjadi pembimbing secara langsung kepada murid-murid. Terdapat sembilan bidang yang menjadi keutamaan kepada Kementerian Pelajaran bagi memastikan rombakan sistem ini berjaya menjadi sistem pendidikan yang berkualiti seperti yang diumumkan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu, guru, kepimpinan sekolah, kualiti sekolah, kurikulum dan pentaksiran, penguasaan pelbagai bahasa, peluang lepasan menengah, ibu bapa, komuniti dan sektor swasta, kecekapan dan keberkesanan sumber Kementerian Pelajaran dan kapasiti serta keupayaan penyampaian Kementerian Pelajaran. Kenyataan telah dikeluarkan melalui artikel daripada Utusan online yang bertarikh 15 Julai 2012.
Terdapat banyak imbuhan yang telah diperuntukkan bagi menjayakan rombakan sistem pendidikan ini. Menurut Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, sebanyak RM6.4 billion telah diperuntukkan bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, kemudahan, peralatan dan memartabatkan profesion guru. Bagi pembahagian peruntukan ini sejumlah RM213 juta adalah bagi ganjaran untuk sekolah berprestasi tinggi serta sebagai imbuhan kepada pengetua atau guru besar dan guru cemerlang. Selain itu, RM250 juta diperuntukkan bagi sekolah bantuan modal agama, sekolah bantuan modal jenis kebangsaan Cina, sekolah kebangsan Tamil, sekolah bantuan modal mubaligh dan sekolah bantuan kerajaan. Menurut beliau lagi, peruntukan turut memberi bahagian kepada sekolah agama rakyat rendah dan menengah sebanyak RM95 juta. Seterusnya, bagi golongan pendidik pula kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM576 juta dalam bentuk biasiswa sebagai motivasi bagi menyediakan guru serta tenaga pengajar yang kompiten dan berkualiti agar dapat membimbing dan mendidik pelajar menjadi yang sebaiknya. Tambahan pula kerajaan turut menawarkan sebanyak RM213 juta bagi mengangkat martabat penguasaan bahasa Malaysia ke paras yang tinggi, mempersadakan bahasa Inggeris serta memperkemaskan Kurikulum Standard Sekolah Rendah.
3.0 IMPLIKASI
Kesan kepada rombakan sistem pendidikan ini akan menjadikan guru lebih kreatif dalam menguruskan proses pengajaran supaya dapat melahirkan pelajar yang berfikiran kritis. Hal ini bertepatan dengan artikel yang ditulis oleh J Sham Wahid di mana beliau menyatakan bahawa guru merupakan insan yang paling hampir dengan murid selain ibu bapa. Oleh yang demikian, guru memahami kehendak murid. Seiring dengan kenyataan tersebut telah dinyatakan bahawa guru yang kreatif bukan sahaja mengajar berlandaskan sukatan pelajaran yang disediakan oleh pihak Kementerian Pelajaran tetapi membuat penambahan maklumat semasa bagi setiap topik dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk membawa murid-murid lebih meneroka maklumat yang mereka peroleh bagi menjadikan ke arah pemikiran yang kritis. Hal ini akan menjadikan sifat ingin tahu murid-murid lebih terarah dengan rangsangan daripada guru. Situasi ini bertepatan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Loke Yim Pheng iaitu, kerajaan perlu memastikan rombakan sistem pendidikan terbabit memberi faedah terutama kepada semua pelajar.
Disamping itu, implikasi kepada guru dalam menjayakan rombakan sistem pendidikan ialah guru perlu mengubah teknik mengajar bagi melahirkan generasi muda yang mampu berfikir dan mempunyai kelebihan mengadaptasi ilmu bagi menghadapi cabaran pada masa akan datang. Hal ini disokong oleh artikel yang dikeluarkan oleh akhbar Berita Harian bertarikh 16 Mac 2012 di mana guru perlu mendidik pelajar untuk menjadi lebih kreatif dan kritis sebagaimana yang dikatakan oleh bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Diraja Ungku Aziz iaitu, sistem pendidikan yang baik haruslah menerapkan tiga nilai yang mana ialah kebolehan menulis dan membaca (literacy), kebolehan mengira (numeracy) dan ilmu berfikir (operacy). Perubahan teknik mengajar ini juga disokong melalui kenyataan daripada Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan bahawa sistem Negara perlu dirombak kerana sudah sampai ke satu tahap yang memerlukan perubahan terutama dalam aspek mengajar dan cara belajar. Pelbagai teknik pengajaran dapat digunakan oleh guru bagi merealisasikan kejayaan bagi rombakan sistem pendidikan yang menuju ke arah sistem pendidikan yang holistik. Kaedah pembelajaran yang telah dibangunkan oelh pihak kerajaan ialah Projek I-Think di mana ianya merupakan projek hasil usaha sama antara Kementerian Pelajaran dan Agensi Inovasi Malaysia. Tujuan Projek I-Think ini adalah untuk memupuk kemahiran pemikiran yang tinggi dan inovasi di peringkat sekolah rendah dan menengah. Projek I-Think kini juga menjadi sebahagian daripada modul di Institut Pendidikan Guru untuk memastikan bakal guru cukup terlatih dan bersedia bagi menyampaikan program ini selepas tamat pengajian.
.
4.0 CADANGAN
Kesan daripada rombakan sistem pendidikan yang berlaku, saya mencadangkan bahawa guru perlu lebih diberi pendedahan mengenai ilmu dan kemahiran supaya impak maksima dapat dicapai dalam menjayakan sistem pendidikan yang akan dirombak ini. Guru perlu terlibat dengan pelbagai latihan dalam perkhidmatan supaya guru sedar dengan peranan mereka dalam penglibatan secara langsung dalam melaksanakan dasar Negara. Ianya bertepatan dengan pandangan yang yang dilontarkan oleh Craft (1996), yang mana beliau menyatakan program latihan dalam perkhidmatan perlu diberi perhatian supaya guru dapat:
1) Memperbaiki prestasi kemahiran kerja secara kumpulan dan individu.
2) Memperbanyakkan pengalaman seseorang guru untuk perkembangan kerjaya dan juga untuk tujuan naik pangkat.
3) Membentuk pengetahuan profesional.
4) Meningkatkan pendidikan guru secara peribadi.
5) Menyediakan guru untuk menghadapi perubahan.
6) Menjelaskan dasar sekolah atau jabatan.
Berdasarkan implikasi yang dapat dilihat daripada rombakan sistem pendidikan bagi menuju ke arah sistem pendidikan holistik adalah perubahan dalam teknik mengajar. Oleh itu, guru perlulah diberi pendedahan Selain itu, saya mencadangkan supaya teknik sumbangsaran yang membawa maksud tumpuan ke atas sesuatu tajuk pada satu masa yang kemudiannya murid-murid akan menyumbangkan idea-idea tanpa sebarang sekatan. Cara pengendalian teknik sumbangsaran yang boleh dilakukan oleh guru ialah yang pertama guru mengajukan satu soalan atau masalah. Langkah yang seterusnya murid-murid akan memberikan beberapa kemungkinan kepada jawapan-jawapan dan kata-kata yangakan menjawab persoalan guru. Kemudiannya, jawapan-jawapan tersebut akan diberi penilaian sama ada berbentuk kritikan atau pujian. Sebagai guru, perlulah menguasai teknik pengajaran ini supaya tidak berlaku masalah seperti kawalan kelas yang tidak teratur.
5.0 RUMUSAN
Secara kesimpulannya, perubahan sistem pendidikan yang dirombak bagi menuju ke arah sistem pendidikan yang holistik memberi impak positif kepada setiap individu yang berada dalam bidang pendidikan sama ada murid-murid mahupun setiap guru. Guru akan memperoleh manfaat hasil daripada rombakan sistem yang akan berlaku ini. Guru akan terlibat secara langsung dalam proses pembentukan murid-murid, modal insan yang berminda kelas pertama supaya terus memacu kemajuan Negara ke arah menjelang Negara maju pada tahun 2020. Hal ini bertepatan dengan Falsafah Pendidikan, iaitu:
“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan Negara.”