1.0 Reviu Artikel
“Pendidikan adalah suatu yang sejagat dan tiada perbezaan antara miskin atau kaya. Dalam sistem pendidikan kita, sekolah adalah untuk semua, kita tentukan mereka mesti ke sekolah, tiada yang tertinggal, tiada yang terkecuali”
Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pelajaran Malaysia.
Ungkapan tersebut dipetik dari Utusan Online bertarikh 25 Ogos 2012 yang menerangkan kepentingan pendidikan bagi rakyat dan tidak ada perbezaan bagi golongan miskin atau kaya. Ini menunjukkan pendidikan amat penting dalam masyarakat era globalisasi untuk bersaing dengan cabaran semasa dan tanpa pendidikan seperti orang buta yang berjalan dalam gelap. Artikel bertarikh 25 Ogos 2012 yang bertajuk ‘Pendidikan Islam dimantapkan’ sedikit sebanyak menceritakan mengenai mata pelajaran Pendidikan Islam yang perlu diperkembangkan dari segi kurikulum, sumber guru dan perluasan bidang Pendidikan Islam di sekolah.
Dalam artikel tersebut, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan perkara mengenai mata pelajaran Pendidikan Islam perlu dimantapkan dalam mesyuarat khas Bahagian Pendidikan Islam. Perkara ini akan dilaksanakan menurut Menteri Pelajaran tersebut, kekurangan guru j-Qaf untuk mengajar dan guru Pendidikan Islam yang ramai layak mengajar murid dalam soal berkaitan Jawi, Agama Islam dan Al-Quran. Tambahan dalam artikel berkenaan ada menyatakan mata pelajaran Pendidikan Islam juga perlu diperluaskan dalam bidang pendidikan. Pendapat saya mengenai artikel ini ialah Pendidikan Islam di sekolah akan membawa kepentingan dan impak yang positif kepada pembentukan sahsiah murid. Tambahan, pelbagai isu dan gejala sosial dikaitkan dengan murid sekolah amat membimbangkan pada masa sekarang.
Sehubungan itu, beberapa tujuan mata pelajaran Pendidikan Islam perlu diajar di sekolah kerana untuk mendidik murid supaya berakhlak mulia, mendidik roh supaya halus dan sempurna, mengasuh murid melakukan yang baik, terhormat dan mulia, membiasakan diri murid dengan adab-adab yang mulia dan tujuan yang terakhir ialah membiasakan diri murid dengan kebersihan, kesucian dan keikhlasan serta amalan-amalan yang mulia (Abd Halim dalam Choong, 2009). Kesemua tujuan ini menunjukkan impak yang positif mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah.
Dalam konteks ini, Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperkenalkan j-Qaf untuk memantapkan lagi bidang pelajaran Pendidikan Islam ini. Projek j-Qaf yang dimaksudkan ialah projek untuk mengukuh dan memperkasakan Pendidikan Islam dengan menerapkan kurikulum Jawi supaya murid dapat menguasai jawi dengan baik, kurikulum Al-Quran untuk murid khatam Al-Quran sebelum ke sekolah menengah, kurikulum bahasa Arab untuk murid mempelajari bahasa Arab komunikasi dan asas-asas bahasa Arab dan kurikulum Fardhu Ain untuk murid menguasai fardhu ain khusunya solat lima waktu. Semua kurikulum ini memberi penekanan kepada sekolah rendah (Projek j-QAF, http://www.sabah.edu.my/skpmtdon/notes/Panduan%20KBS.pdf).
Pelaksanaan j-Qaf di peringkat sekolah rendah dimulakan pada 2005. Selepas pelaksanaannya selama 6 tahun didapati ia sangat berkesan dan memberi impak besar kepada sahsiah dan tingkah laku murid. Berdasarkan kajian didapati melebihi 94% murid dapat menguasai empat kemahiran asas iaitu tulisan jawi, membaca Al-Quran, asas berkomunikasi dalam bahasa Arab dan memahami keperluan fardhu ain. Dengan kejayaan itu sudah sampai masanya Kementerian Pelajaran meluaskan program j-Qaf itu ke peringkat menengah supaya dapat dimanfaatkan lebih ramai murid.
Berbalik kepada artikel isu Pendidikan Islam perlu dimantapkan, projek j-Qaf ini disediakan bagi tujuan tersebut. Bukan guru Pendidikan Islam tidak mahir mengajar dalam kurikulum yang tambahan ini, memandangkan Pendidikan Islam yang diajar di sekolah belum cukup mantap dan berkesan dalam pembentukan sahsiah diri serta keperibadian diri para pelajar dalam mendalami Agama Islam yang sebenarnya. Tambahan pemantapan Pendidikan Islam melalui j-Qaf ini ialah medium pengintegrasian secara berhemah sistem Pendidikan Islam dengan kurikulum kebangsaan. Selain itu, matlamat pelaksanaan strategi ini adalah supaya pelajar dapat khatam Al-Quran dalam alam persekolahan (Mohd Zubir etl. 2005).
Kemudian, bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Murad Mohamad Nor mengatakan mempelajari bahasa Arab, Jawi dan harus khatam Al-Quran dianggap sebagai satu langkah ‘baik pulih’ yang akan menyumbangkan kepada pembinaan keperibadian pelajar Islam yang lebih menyeluruh (Mohd Zubir etl. 2005). Oleh itu, Kementerian Pelajaran Malaysia haruslah memantapkan kurikulum Pendidikan Islam dengan sebaik-baiknya supaya apabila kurikulum ini digunakan kelak akan melahirkan pelajar yang mempunyai jati diri islam yang betul-betul melaksanakan syariat agama itu sendiri.
2.0 Hujah Berkaitan Artikel
Ada pihak mengaitkan ketidakeberkesanan kaedah pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Agama Islam dengan berleluasanya gejala sosial dalam masyarakat kita terutama di kalangan golongan remaja. Isu mat rempit, pergaulan bebas, pembuangan bayi, penyalahgunaan dadah dan sebagainya dikatakan boleh dikurangkan jika mereka menghayati dan mengamalkan pendidikan agama di sekolah. Merujuk satu artikel yang dikeluarkan oleh Muhd Shatar pada 12 Disember 2012 yang bertajuk ‘Pendidikan Islam gagal dijiwai pelajar’ memaparkan jenis-jenis gejala sosial yang sedang berlaku melibatkan remaja yang bersekolah. Beliau merasa bimbang dengan remaja yang belajar mengenai Pendidikan Islam tetapi masih lagi terlibat dengan gejala sosial disebabkan sema-mata ingin mendapat kejayaan pada peringkat peperiksaan PMR dan SPM. Dalam artikel yang sama, penulis tersebut menyatakan natijah daripada kurang keyakinan terhadap agama atau sekadar mewarisi pada nama.
Bagi membalas kenyataan isu Pendidikan Islam perlu dimantapkan, Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Unit Komunikasi Korporat menerangkan secara jelas bagaimana usaha yang diambil oleh kerajaan untuk menangani isu Pendidikan Islam yang perlu dijiwai oleh pelajar di samping guru perlu memantapkan Pendidikan Islam di sekolah. Selepas kurikulum Pendidikan Islam menjadi salah satu komponen dalam Kurikulum Kebangsaan guru perlu mengambil peluang ini untuk memberikan Pendidikan Islam yang lengkap dan holistik mengikut keperluan murid-murid di sekolah. Dalam kurikulum tersebut merangkumi aspek hidup dan amalan bagi seorang muslim. Peranan guru dalam mengemudi proses pengajaran dan pembelajaran dengan baik dan terancang supaya pembelajaran boleh melekat di minda setiap pelajar supaya memberi kesan yang positif kepada pembangunan sahsiah pelajar.
Dalam kurikulum ini juga, ia menekankan aspek ilmu, amali, amalan, penghayatan dan pembudayaan (http://www.moe.gov.my). Secara menyeluruhnya, Pendidikan Islam yang dijalankan di sekolah melibatkan aspek-aspek tersebut. Guru telah mengaplikasikan pengajaran dengan memberikan pengetahuan dan kefahaman yang mencukupi mengenai persoalan kehidupan kepada murid-murid. Pelajaran ini dapat diaplikasikan oleh murid dalam kehidupan seharian mereka bagi melahirkan kehidupan insan yang seimbang dan berakhlak.
Permasalahan mengenai gejala sosial melibatkan murid-murid sekolah dan remaja yang berleluasa pada masa sekarang bukan disebabkan faktor kurang penghayatan di sekolah. Masalah seperti ini tidak akan selesai jika saling menuding jari antara satu sama lain. Pendidikan anak-anak terdapat di rumah dan di sekolah. Jika di sekolah guru sudah memainkan peranan, ibu bapa di rumah perlu meneruskan peranan tersebut supaya benda yang negatif tidak akan berlaku
3.0 Cadangan Berkaitan Isu
Usaha kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia dalam menangani pelbagai gejala sosial yang dikaitkan juga dengan kurang memahami isi Pendidikan Islam di sekolah mendapat perhatian. Dalam konteks sekolah, pengurus atau pentadbir sekolah boleh membenarkan guru Pendidikan Agama Islam mengajar subjek guru j-Qaf akibat kekurangan guru j-Qaf kerana mereka masih dalam bidang yang sama. Selain itu, akhlak seorang guru juga perlu dijaga supaya murid menghormati dan menjadikan guru sebagai rol model. Dari segi kurikulum Pendidikan Islam pula kerajaan akan membuat kajian untuk penambahbaikan demi melahirkan generasi yang bertamadun melalui pendidikan.
Penambahan guru j-Qaf dan guru agama amat penting untuk memberikan khidmat di sekolah-sekolah yang mempunyai masalah gejala sosial ini selain dapat memantapkan mata pelajaran ini. Guru juga perlu dibekalkan dengan ilmu yang luas supaya dapat menangani pelbagai masalah di sekolah. Jika pelbagai masalah dapat ditangani melalui Pendidikan Islam ini dapat mewujudkan satu generasi yang mempunyai akhlak yang mulia. Tambahan, kemunculan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan KSSM dalam Pendidikan Islam memberikan penekanan kepada aspek penghayatan murid terhadap ilmu yang dipelajari. Guru perlu melaksanakan pelbagai strategi pengajaran seperti menambah masa pelaksanaan amali untuk menanamkan penghayatan murid terhadap ilmu yang dipelajari meningkat.
Amali di sekolah berperanan memberi pendedahan dan pengalaman kepada murid. Murid bukan sahaja dapat meningkatkan penghayatan dan kefahaman malah ilmu yang mereka perolehi menjadi kesan di minda mereka. penambahan masa amali juga memberikan peluang kepada murid untuk mendalami ilmu agama di sekolah. Bukan semua murid akan berpeluang mendalami ilmu agama di rumah di sebabkan kesibukan keluarga dan hal lain. Maka sekolah menjadi tempat untuk mempelajari pengetahuan baharu. Namun, guru perlu mengambil peluang ini mempelbagaikan strategi pengajaran supaya dapat menghasilkan pengajaran Pendidikan Islam yang berkualiti dan memberi impak yang positif kepada murid.
Kemudian, usaha ini diperkukuhkan lagi dengan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang menilai murid secara holistik dan tidak terhad kepada aspek intelek sahaja menurut Kementerian Pelajaran Malaysia. Di sini, bukan untuk lulus ujian atau peperiksaan semata-mata. Ilmu Pendidikan Islam dapat dimantapkan lagi dengan pelaksanaan PBS. Penilaian seperti ini melalui pemerhatian dan analisis mengenai perkembangan murid dari masa ke semasa. Guru dapat mengesan permasalahan proses pengajaran dan pembelajaran murid di samping cuba menyelesaikan dengan pelbagai cara. Di samping itu, guru boleh menggunakan PBS untuk menilai prestasi murid secara holistik.
4.0 Implikasi Pemantapan Pendidikan Islam
Melalui pemantapan Pendidikan Islam di sekolah, ia akan memberikan impak antaranya dapat menghasilkan tamadun umat yang tinggi, memberi sumbangan terhadap pembangunan, wujud kesepaduan daripada pelbagai imu, mengaitkan apa yang dipelajari dengan bidang lain, melahirkan insan bertakwa, harmonis dan seimbang mengikut Kementerian Pelajaran Malaysia (http://www.moe.gov.my).
Implikasi yang pertama ialah menghasilkan tamadun umat yang tinggi. Kesan ini boleh dilihat daripada apa yang telah dicapai oleh negara dan apa yang telah terjadi di sebaliknya. Tamadun manusia semakin rapuh agamanya, maka pembentukan keperibadian dan sahsiah yang mulia bermula dari sekolah dan rumah. Peranan guru perlu dimainkan dengan betul supaya murid tidak terpesong dan mempunyai kekuatan dalam agamanya.
Dalam konteks Pendidikan Islam dimantapkan membawa maksud dari segi persembahan guru di sekolah dan kesan kepada murid. Kita sedia maklum, jika murid-murid mempunyai penghayatan agama yang baik, gejala sosial tidak akan berlaku di kalangan murid sekolah. Tidak perlu menyalahkan sesiapa, yang diperlukan ialah sifat tanggungjawab untuk merealisasikan matlamat dalam pendidikan untuk menghasilkan modal insan kelas pertama yang mempunyai perkembangan menyeluruh.
Kemudian, implikasi yang kedua pula memberi sumbangan terhadap pembangunan negara. Jika negara dapat melahirkan generasi kelas A, maka ia tidak ada masalah dalam pembangunan negara. Melalui pemantapan Pendidikan Islam di sekolah, individu dapat melihat baik dan buruk sesuatu dalam membuat keputusan. Dari aspek tugas guru pula, jika boleh melahirkan murid-murid yang bertakwa dengan memegang kepada agama yang betul sedikit sebanyak telah menyumbang kepada pembangunan negara. Pendidikan merupakan landasan penting yang perlu dilalui untuk meningkatkan dan mencapai tahap pembangunan yang dikehendaki. Pendidik perlu menanam nilai-nilai murni dalam masyarakat dan ini penting untuk membentuk generasi muda kea rah sahsiah diri yang baik.
Seterusnya, kewujudan kesepaduan dalam pelbagai bidang membawa maksud Pendidikan Islam dapat diintegrasikan dalam mata pelajaran lain demi usaha melahirkan insan yang cemerlang. Bukan sahaja secara langsung dari pembelajaran Pendidikan Islam, bahkan melalui subjek lain dapat dikaitkan dengan Pendidikan Islam supaya subjek ini dipandang secara syumul bukan hanya berada dalam kotaknya sendiri. Kepelbagaian pembelajaran seperti ini dapat menimbulkan warna-warni dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Tambahan, murid dapat menimbulkan minat dan penghayatan dalam pelajaran.
Di samping itu, kesan daripada pemantapan subjek Pendidikan Islam melalui guru-gurunya dapat melahirkan insan yang bertakwa, harmonis dan seimbang. Agama tonggak kepada sahsiah seseorang. Jadi tidak menjadi masalah melalui Pendidikan Islam yang kukuh boleh melahirkan generasi yang boleh diharapkan untuk mentadbir negara.
5.0 Rumusan
Pendidikan ialah matlamat utama melahirkan individu Muslim yang berilmu dan membina masa depan ummah. Peredaran zaman memberi kesan kepada perubahan gaya hidup manusia termasuklah cara bertindak dan berfikir. Bagi menjana ummah berkualiti, pendidikan bersepadu dan menyeluruh membabitkan fardhu ain, fardhu kifayah dan teknologi maklumat perlu dititikberatkan. Umat Islam dituntut memperkukuh ilmu fardhu ain dengan mendalami pengetahuan agama seperti dalam bidang tafsir Al-Quran, hadis, fiqh, akidah dan sebagainya sebagai benteng kepada keutuhan, kekuatan iman serta pegangan agama Islam.
Guru merupakan individu yang terlibat secara langsung dalam proses pengajaran dan pembelajaran bersemuka dengan pelajar pada setiap hari persekolahan. Guru merupakan model yang sangat penting dalam menyalurkan mesej tentang amalan nilai-nilai, kepercayaan, falsafah dan sikap kepada anak didik mereka (Noriati etl. 2010). Dalam usaha kea rah ini, guru perlu memainkan peranan dengan sehabis baik. Bukan sahaja guru Pedidikan Islam, bahkan guru dari mata pelajaran lain boleh mengintegrasikan dengan subjek ini demi memantapkan ilmu Pendidikan Islam di sekolah.
Hakikatnya, pada gurulah letaknya harapan kita untuk melonjakkan kualiti pendidikan Malaysia ke tahap terbaik demi memastikan Negara dapat melahirkan modal insan yang berkualiti memacu transformasi kita ke tahap lebih cemerlang (Institut Terjemahan Negara, 2011).
0 comments:
Post a Comment