1.0 PENGENALAN
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) mula diperkenalkan pada tahun 2011 yang merupakan satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik. PBS merupakan satu bentuk pentaksiran bidang akademik dan bukan akademik yang dilaksanakan di sekolah secara terancang mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan. PBS dikendalikan oleh pihak sekolah dan pentaksirannya dilaksanakan oleh guru-guru mata pelajaran secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ia menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
“Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, beketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara”.
(Falsafah Pendidikan Kebangsaan)
Peperiksaan UPSR dan PMR akan tetap diteruskan, walaubagaimanapun pentaksiran berasaskan sekolah akan diambil kira dalam menentukan pencapaian keseluruhan murid. Bagi penilaian peringkat sekolah rendah ialah 70% diambil kira daripada pentaksiran berasaskan sekolah dan 30% daripada peperiksaan pusat, manakala bagi penilaian peringkat menengah rendah pula, 50% adalah daripada pentaksiran berasaskan sekolah dan 50% daripada peperiksaan pusat.
Kerajaan memperkenalkan PBS iaitu penilaian berbentuk formatif dan sumatif bertujuan mengesahkan persijilan dan akauntabiliti. PBS juga memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif yang berasaskan sekolah. Ini akan dapat meningkatkan integriti dan kredibiliti profesion perguruan kerana guru merupakan orang yang paling sesuai untuk mentaksir murid masing-masing. Mereka mampu memberi bukti-bukti yang lebih autentik. Malah, di universiti dan kolej didapati penilaian dibuat oleh pihak universiti sendiri dan sijil yang dikeluarkan diakui oleh semua pihak. (Abdullah Sani, 2003)
2.0 PERKEMBANGAN HUJAH
Melalui artikel yang dikeluarkan oleh Utusan pada 6 Ogos 2012 bertajuk “Pentaksiran secara Holistik”, PBS merupakan salah satu usaha kerajaan melalui Kementerian Pelajaran dalam membangunkan modal insan secara holistik. Namun, apa yang menjadi persoalannya di sini adalah sejauh mana penerimaan guru-guru dan kesan pelaksanaan PBS ini terhadap guru. Pelbagai isu yang timbul melalui pelaksanaan PBS tidak kira positif mahu pun sebaliknya.
Sistem pentaksiran berasaskan sekolah bukanlah perkara baru bagi warga pendidikan. Pendekatan ini telah pun diamalkan secara berperingkat oleh sekolah terutama yang melibatkan mata pelajaran bersifat amali. Namun, apabila Kementerian Pelajaran membuat keputusan menjadikan sistem pendidikan negara tidak terlalu berorietasikan peperiksaan, pendekatan ini dilihat oleh Kementerian sebagai suatu tindakan yang perlu diperluaskan melibatkan mata pelajaran lain. Usaha mengurangkan pendidikan berorientasikan peperiksaan turut mengambil kira cadangan lain seperti termaktub dalam hala tuju Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Berikut merupakan salah satu fokus dan strategi Kementerian Pelajaran Malaysia dalam membangunkan modal insan yang holistik:
Memantapkan sistem pentaksiran dan penilaian supaya lebih holistik
· Menyediakan pentaksiran alternatif
· Mengkaji semula sistem pentaksiran dan penilaian untuk menjadikan persekolahan tidak terlalu berorientasikan peperiksaan
· Memantapkan kualiti sistem pentaksiran dan penilaian
(Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010, RMK-9)
Pentaksiran yang dilaksanakan adalah dalam bentuk pentaksiran formatif; menggantikan sistem pentaksiran berpusat (external assessment) yang dikenali juga sebagai pentaksiran untuk pembelajaran (assessment for learning); di mana pelaksanaannya adalah secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Menurut Butler dan McMunn (2006), pentaksiran formatif bertujuan mencapai matlamat agar pelajar diberi maklumbalas tentang pencapaian mereka. Di dalam bilik darjah guru perlu mengetahui tentang pencapaian murid dari segi pengetahuan atau kemahiran yang telah diperolehi manakala murid pula akan dapat mengenal pasti tahap pembelajaran serta kelemahan yang ada pada diri mereka. Dalam situasi yang sama, guru pula akan menerima maklum balas sama ada pengajaran mereka perlu diubah mengikut kesesuaian dan kefahaman murid itu sendiri (Miller et al., 2009).
Melalui artikel tersebut, dinyatakan bahawa PBS memberi autonomi kepada guru melaksanakan pentaksiran berdasarkan kesediaan pelajar kerana tujuan sistem ini diperkenalkan ialah untuk membantu guru dan pelajar mengenalpasti kekuatan dan kelemahan masing-masing semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Perkara ini membuktikan bahawa guru perlu memainkan peranan penting dalam pelaksanaan PBS dalam kalangan pelajar dalam meningkatkan kualiti pengajaran guru dan pembelajaran pelajar.
Pentaksiran berasaskan sekolah mementingkan peranan guru untuk menilai pelajar. Dalam konteks ini, guru dapat menghakimi kualiti kerja mereka sendiri dan para pelajar. Guru bertanggungjawab mendapatkan maklumat kemajuan dan pencapaian pelajar secara formal dan tidak formal. Apa yang lebih penting di sini ialah wujudnya pentaksiran secara berterusan bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan setiap pelajar supaya bimbingan sewajarnya dapat dilakukan. Pelajar yang masih belum mencapai tahap kemajuan masih berpeluang untuk memperbaiki diri berdasarkan bimbingan yang lebih daripada guru. Murid yang maju pula diberikan pengayaan dengan kewujudan aktiviti yang lebih mencabar untuk meningkatkan pembelajaran ke arah yang lebih cemerlang (PPK,1994)
Pentaksiran ini dilihat sebagai satu pelaksanaan yang penting tidak kira sama ada kepada guru mahu pun pelajar. Hal ini dibuktikan melalui kajian yang dijalankan oleh Black dan William (1998) yang telah mengenal pasti lima faktor penting pentaksiran yang menyumbang kecemerlangan pembelajaran hasil daripada peningkatan piawai seperti berikut:
· Pentaksiran dijalankan secara berterusan di dalam bilik darjah. Keputusan yang diperoleh digunakan untuk mengubah suai kaedah pengajaran dan pembelajaran dan bukannya untuk perbandingan skor atau gred pelajar.
· Maklum balas pelajar dan guru dalam bentuk lisan atau bertulis tentang hasil kerja pelajar dimurnikan melalui pentaksiran.
· Penglibatan aktif pelajar dalam pentaksiran yang dijalankan.
· Motivasi dan minat pelajar difokus dengan teliti dalam pentaksiran bertujuan untuk mendorong pelajar mempercayai bahawa mereka boleh menguasai pembelajaran yang diajar.
· Pentaksiran yang mengambil kira masa untuk pelajar menjalankan pentaksiran kendiri secara berkumpulan atau melalui dialog guru dan pelajar.
(Noraini Idris, 2001)
Sebagai pendidik juga kita perlulah mengetahui kegunaan atau tujuan pentaksiran itu sendiri. Pentaksiran semasa proses pengajaran dan pembelajaran mempunyai kesan kepada guru dan pelajar. Salah satu sebab wujudnya proses pentaksiran adalah untuk mengumpul maklumat. Maklumat yang dikumpul ialah dari segi tahap kefahaman pelajar dan bagi mendapatkan maklum balas perkembangan proses pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan sama ada positif atau sebaliknya. Daripada maklum balas yang diterima, guru akan mengetahui sejauh mana keberkesanan pengajaran mereka. Hasil daripada maklumat ini akan digunakan untuk memperbaiki kelemahan dari kedua-dua pihak iaitu guru dan pelajar.
Kecemerlangan pencapaian dalam peperiksaan awam sebenarnya turut dibantu oleh pentaksiran di peringkat sekolah. Di sinilah pentingnya para guru perlu ada pemikiran strategik dalam pelaksanaan pentaksiran tersebut. Perkara ini turut diutarakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Mohd Rauhi bin Mohd Isa, Pengarah Pelajaran Perak dalam ucapan beliau sempena Perhimpunan Bulan Ogos. Beliau menyatakan bahawa guru bukan hanya menjadi penyampai ilmu semata-mata sebaliknya perlu bertindak sebagai pemudahcara. Oleh sebab PBS melibatkan kaedah proses, maka bimbingan berterusan dan sasaran markah tertinggi dapat membantu meningkatkan pencapaian para pelajar dan sekaligus membantu dalam pencapaian peperiksaan awam. Sekiranya guru dapat memberi komitmen yang tinggi dan sanggup bekerja lebih daripada biasa, tidak mustahil anak-anak didik mereka mampu menunjukkan kecemerlangan.
Amalan pentaksiran harus sesuai dengan tujuan bagi memastikan pelajar dapat dinilai secara menyeluruh. Kaedah yang digunakan harus sesuai dengan hasrat. Oleh itu, seorang guru harus memahami dan menguasai kaedah yang digunakan dalam pentaksiran sekolah. Setiap guru perlu dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran berhubung pentaksiran sekolah supaya mereka dapat melaksankan penilain dengan sewajarnya. Sehubungan itu, latihan di institut perguruan atau universiti untuk guru pelatih dan juga latihan dalam perkhidmatan bagi guru-guru menekankan lebih kepada pentaksiran sekolah. (Juliana Osong, 2008)
Melalui pelaksanaan PBS ini, timbul isu berkaitan guru dibebani tugas untuk mentaksir. Hal ini dibuktikan melalui dapatan Tan (2010) tentang pelaksanaan PBS di Malaysia menemui banyak isu terutama yang berkaitan dengan guru sebagai pelaksana. Pelaksanaan PBS di dapati menambah beban tugas guru di sekolah yang memang telah dibebani dengan tugas‐tugas pentadbiran dan kokurikulum. Ini menyebabkan guru melaksanakan pentaksiran sebagai satu produk dan bukan sebagai satu proses. Guru‐guru juga menghadapi kekangan masa dan kekurangan sumber untuk melaksanakan PBS dengan lebih kreatif.
Tambahan lagi guru juga kurang pemahaman terhadap pendidikan dan konsep pentaksiran itu sendiri. Ini juga dikaitkan dengan tahap kompetensi guru sebagai pembimbing dan pemudahcara melaksanakan pentaksiran di dalam bilik darjah yang kurang kreatif dan kurang profesional. Stiggins (2005) mendapati tidak ramai guru yang betul‐betul bersedia dalam melakukan pentaksiran bilik darjah kerana mereka tidak berpeluang untuk mempelajari teknik‐teknik dan amalan pentaksiran yang betul. Walaupun proses penilaian bukan merupakan perkara baru dalam pendidikan, PBS adalah sesuatu yang baru dan menjadi kebimbangan kepada pihak guru dan sekolah terutama dalam pelaksanaannya (Gardner et al., 2008).
Selain itu, pentaksiran yang dilakukan mungkin akan berat sebelah atau dipengaruhi oleh unsur-unsur ketidakadilan. Hal ini dibuktikan melalui Persidangan Kebangsaan Penilaian Kemajuan Berasaskan Sekolah, 2002: 213 di mana masalah bias boleh berlaku dalam penilaian adalah disebabkan pelajar yang berlainan etnik, jantina, bangsa, latar belakang agama dan sebagainya. Justeru, guru juga tidak seharusnya membanding-bandingkan pelajar tetapi berusaha untuk membantu setiap pelajar menguasai pengetahuan dan kemahiran yang berkesan. Dalam konteks ini, guru yang bertindak sebagai pentaksir hendaklah bersikap profesional dan keterbukaan. Pentaksiran yang dilaksanakan hendaklah dapat menunjukkan apa yang telah dipelajari hasil daripada sesi pembelajaran di dalam bilik darjah.
Ketidakadilan penilaian oleh guru juga disebabkan kegagalan guru menggunakan semua skala penaksiran ketika membuat penilaian dan guru percaya kepada rekod simpan mental yang mempengaruhi tanggapan sebelumnya ke atas pelajar. (Abdullah Sani Yahaya, 2003). Perkara ini dibuktikan melalui salah satu daripada lima dapatan kajian Pelaksanaan Penilaian Kendalian Sekolah Menengah oleh jawatankuasa Penyelarasan Penyelidikan Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia, menunjukkan guru menjalankan penilaian secara kelas berbanding cara individu atau kumpulan. (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1994: 42). Hal ini memungkinkan guru bias kepada kelas-kelasnya yang terbaik iaitu kumpulan pelajar yang terserlah pencapaian akademiknya.
Oleh kerana wujudnya masalah bias ketika pentaksiran, maka ia perlulah diatasi supaya tidak timbul masalah yang lebih serius. Menurut pendapat Abdullah Sani Yahaya, 2003 yang mengatakan Kursus Pengurusan Penilaian Berasaskan Sekolah (KPPBS) patut dibuat untuk memberi pendedahan dalam pengurusan penilaian berasaskan sekolah kepada pengetua, guru besar, guru penolong kanan, ketua panitia, ketua bidang dan pegawai pendidikan yang terlibat dalam penilaian di sekolah. Tambah beliau lagi, guru mata pelajaran perlu diberi kursus dan pendedahan secukupnya berkenaan aspek-aspek penilaian supaya mereka betul-betul memahami tentang prosedur dan kriteria-kriteria pemarkahan.
Integriti guru juga tidak boleh dipertikaikan dalam pelaksanaan PBS ini kerana adanya mekanisme penjaminan kualiti yang akan dijalankan sepanjang pelaksanaan PBS iaitu pementoran, penyelarasan, pemantauan dan pengesanan. Sistem pengawasan dan pemantauan ke atas guru-guru ini adalah bagi memastikan mereka melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik dan penuh dedikasi. Hal ini juga adalah bagi mengelakkan para guru menyeleweng daripada tugas yang telah diamanahkan (Kementerian Pelajaran Malaysia). Oleh itu, setiap individu yang terlibat dalam pembangunan atau pelaksanaan pentaksiran pendidikan adalah bertanggungjawab menjamin kualiti dan mutu pentaksiran yang dikendalikan.
3.0 IMPLIKASI
Sebagaimana yang sedia maklum oleh para guru, pentaksiran merupakan proses kitaran yang berterusan. Mentaksir kemajuan akademik telah menjadi salah satu daripada tanggungjawab penting bagi mana-mana pendidik profesional. Antara kesan positif pentaksiran kepada guru ialah:
i) Membolehkan guru menetapkan standard kerja dan memikirkan cara memperbaik amalan kerja mereka.
ii) Membantu guru merancang pengajaran yang berkesan yang memenuhi keperluan individu setiap pelajar.
iii) Memastikan segala strategi pengajaran dan pembelajaran terbukti berkesan.
iv) Membolehkan guru memantau kemajuan pelajar secara berkesan bagi memastikan sasaran tercapai.
(Rayment. T, 2006)
Berdasarkan kesan positif pentaksiran tersebut terbuktilah bahawa pelaksanaan pentaksiran berasaskan sekolah dapat memberi faedah kepada para pendidik khususnya. Pihak sekolah bertanggungjawab melaksanakan PBS yang melibatkan guru mata pelajaran itu sendiri. Pelaksanaan PBS secara berterusan ini memudahkan guru itu sendiri membuat penilaian dan penambahbaikan kepada pencapaian pelajar di sekolah. Guru mata pelajaran dipertanggungjawabkan menyediakan instrumen dan membuat penskoran bagi menentukan band pelajar.
Pentaksiran berasaskan sekolah amat penting bagi guru kerana ia merupakan satu cabang untuk mentaksir pelajar dengan menggunakan pengukur yang disediakan sejajar dengan matlamat setiap mata pelajaran. Melalui PBS, guru dapat mengetahui tahap kefahaman pelajar dan dapat mengenal pasti kelemahan dan kekuatan pelajar lalu membahagikan mereka kepada kumpulan pemulihan atau pengayaan. Setelah kekurangan dan kekuatan yang dimiliki oleh pelajar dikesan, guru dapat memilih pelbagai teknik dan pendekatan yang sesuai dan menyeronokkan agar dapat menarik minat dan tumpuan pelajar untuk belajar dengan tekun. Seterusnya ia dapat mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan berkesan kepada pelajar khususnya.
Sebagai seorang pendidik, mereka boleh memperbaiki kelemahan dan kekurangan dalam pengajaran dan pembelajaran. Melalui PBS, ia dapat menggalakkan semua pendidik di kalangan individu dan sekolah dengan menggunakan multimedia sebagai kumpulan media berasaskan komputer. Hal ini boleh menggurangkan beban setiap pendidik untuk menyemak buku latihan, kertas peperiksaan dan sebagainya. Dengan pentaksiran, guru dapat memberi dan menetapkan penggredan serta dapat menentukan keberkesanan pengajaran dalam setiap sesi pengajarannya. Pentaksiran berasaskan sekolah juga menggalakkan hubungan dua hala melalui peluang yang diberi kepada pelajar untuk bertanya dan seterusnya mendapat bimbingan dan penjelasan lebih lanjut tentang prestasi yang ditunjukkan dan bagaimaa meningkatkannya. Hal ini kerana maklum balas daripada pentaksir iaitu guru dapat diberikan terus kepada murid dengan kadar yang segera.
Merujuk kepada kata pengantar Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dalam Dokumen pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS) yang diperkenalkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (2003), Abdul Rafie Mahat menjelaskan bahawa untuk memastikan kualiti pendidikan di negara ini, maka pentaksiran perlu dilakukan setiap hari sama ada di dalam atau di luar bilik darjah supaya pemulihan dan penambahbaikan dapat dilakukan demi meransang pembelajaran.
Pentaksiran berasaskan sekolah ini sebenarnya telah memartabatkan maruah guru. Kenyataan ini disokong melalui penyataan Yang Berbahagia Dato’ Mohd Rauhi bin Mohd Isa, Pengarah Pelajaran Perak dalam ucapan beliau sempena Perhimpunan Bulan Ogos yang mengatakan bahawa guru diberi autoriti untuk menilai dan memberi markah. Implikasinya, guru tersebut akan lebih bertanggungjawab terhadap tindakannya. Keduanya, integriti guru dalam pemberian markah diakui kesahannya. Sifat keintegritian tersebut lebih memudahkan seseorang itu melaksanakan tugasnya dengan tangkas, tepat, dan menjamin keberhasilan yang berkualiti.
Dalam merealisasikan tugas guru yang semakin mencabar ini bukanlah satu bebanan terutamanya dengan pengenalan PBS. Walhal pengenalan program ini merupakan satu instrumen yang perlu diperkasakan kerana secara tidak langsung ia akan lebih memberi kesan positif kepada guru terutama dalam penyediaan rancangan pengajaran. Malahan isu bebanan sepatutnya tidak wujud kerana masa dan tugas pelaksanaannya terpulang kepada guru itu sendiri untuk menentukannya. Pentaksiran tidak membebankan guru untuk menghabiskan sukatan pelajaran dengan tergesa-gesa. Misalnya, guru-guru tahun 6 perlu menghabiskan sukatan pelajaran lebih awal bagi membuat persediaan untuk pelajar menghadapi UPSR. Dalam pentaksiran berasaskan sekolah, guru-guru dapat mengajar dengan tenang dan mengikut rancangan pengajaran dengan lebih tersusun tanpa perlu tergesa-gesa menghabiskannya. Ini kerana mereka sendiri yang akan menyediakan instrumen untuk menilai pelajar masing-masing.
Di samping itu, pentaksiran dapat menerapkan nilai murni dan akhlak yang mulia secara holistik semasa proses pentaksiran. Dalam hal ini guru tidak perlu mengadakan ujian atau peperiksaan yang formal tetapi guru tetap mendidik menggunakan proses pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran secara bersepadu. PBS yang dilaksanakan dalam bentuk pentaksiran formatif membolehkan pelajar ditaksir melalui pemerhatian, ujian lisan, perbincangan, temu bual dan penulisan semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Pentaksiran sumatif pula boleh dilakukan pada akhir unit pembelajaran, semester atau tahun. Ini dapat membantu guru memantapkan pembelajaran pelajar berdasarkan maklumat yang diperoleh dan seterusnya mengubah suai strategi pengajaran yang lebih efektif. Hal ini dapat meningkatkan amalan pengajaran guru
4.0 CADANGAN/RUMUSAN
Kesedaran terhadap kepentingan untuk mentafsir pembelajaran murid dalam pelbagai aspek seperti jasmani, emosi, kognitif, afektif, dan sosial telah membawa kepada amalan penggunaan pelbagai teknik pentaksiran dijalankan. Hal ini selaras dan bertepatan dengan kehendak dan usaha murni bidang pendidikan untuk melahirkan insan yang seimbang jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Kesedaran juga wujud terhadap kepentingan penggunaan pelbagai teknik mentafsir dalam meningkatkan kesahan konstruk yang diukur dan seterusnya meningkatkan kesahan maklumat pentaksiran yang digunakan guru untuk membuat keputusan berkaitan pembelajaran pelajar. (Brookhart, 2009)
Menyedari kepentingan penggunaan pelbagai teknik pentaksiran dalam proses pengajaran dan pembelajaran, maka dicadangkan kepada pihak pendidikan peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan mengadakan lebih banyak bengkel dan latihan secara hands-on untuk mendedahkan guru-guru agar lebih berkualiti dalam proses pentaksiran. Menurut Suzana Abd Mutalib (2012), guru perlu didedahkan dengan pelbagai pengetahuan tentang pentaksiran termasuk tujuan, masa pelaksanaan, teknik melaksanakan, membuat pemerhatian, mengumpul maklumat, merekdo, mentafsir dan menggunakan maklumat pentaksiran untuk memperbaik amalan pengajaran dan pembelajaran.
Black dan Wiliam (1998) yang menjelaskan apa yang sebenarnya telah berlaku di sekolah‐sekolah semasa pelaksanaan pentaksiran formatif ialah tentang kesukaran pelaksanaannya di dalam bilik darjah dan kepercayaan masyarakat tentang keberkesanannya dalam meningkatkan pencapaian murid serta bagaimana cara untuk melakukan peningkatan tersebut. Satu daripada cadangan beliau adalah dengan melihat keperluan latihan serta sistem sokongan lain kepada guru‐guru di sekolah. Justeru, pihak berwajib perlu merancang dan melaksanakan satu pendekatan untuk memastikan guru-guru dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran tentang instrumen yang sesuai dengan pentaksiran sekolah. Guru-guru perlu diberi bimbingan, sokongan dan mandat dalam melaksanakan program ini secara seratus peratus komitmen oleh guru-guru.
Memandangkan PBS lebih dikendalikan oleh guru di sekolah, maka aspek kualiti amatlah perlu dititikberatkan. Walau bagaimanapun didapati aspek ini masih kurang diberikan perhatian. Stiggins dan Bridgeford (1985) menyatakan bahawa masih wujud masalah dalam mengawal kualiti pentaksiran yang berasaskan pemerhatian dan penilaian. Stiggins, Griswold dan Wikelund (1989) mendapati guru yang dilatih untuk mengajar kemahiran berfikir ada kecenderungan untuk menanyakan soalan kemahiran berfikir yang tinggi berbanding dengan mereka yang tidak dilatih.
Dalam memastikan keberkesanan penilaian kerja kursus sebagai alat pengukuran terletak kepada kemampuan guru untuk mentadbir dan memberikan skor dengan objektif dan adil. Bagi memastikan keadilan ini, guru perlu menjalankan pemeriksaan dengan teliti dan cermat, menilai dengan hati dan kalbu, membuat pertimbangan yang wajar serta bersikap lebih kepada membantu bukan tegas (Azizi dan Mohd Isha, 2008). Dalam hal ini, guru juga harus memiliki ilmu pengetahuan dan kefahaman yang mendalam dalam aspek yang dinilai supaya pentaksiran yang dilaksana adalah adalah tepat dan memberikan maklum balas yang sebenar tentang tahap seseorang pelajar berkenaan.
5.0 KESIMPULAN
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) pada pendapat saya sangat sesuai diaplikasikan sebagai salah satu kaedah penilaian pelajar kita pada zaman ini. Jika kita lihat kesan daripada sistem penilaian yang berasaskan peperiksaan sepenuhnya telah banyak membentuk pelajar mementingkan keputusan peperiksaan semata mata, akhirnya perkembangan potensi mereka tidak berkembang secara seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial, seterusnya menggagalkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Saya juga berpendapat pelaksanaan PBS adalah wajar supaya pencapaian pelajar tidak hanya dinilai atau ditaksir hanya menggunakan ujian pensil dan kertas semata‐mata, tetapi perlu beralih arah kepada pentaksiran yang lebih menyeluruh seperti penyediaan kerja kursus atau projek yang lebih bersifat autentik. Malah melalui PBS juga dapat mengubah pendekatan pengajaran dan pembelajaran, misalnya dengan memperbanyakkan pendekatan pengurusan projek. Jika ini diperbanyakkan maka kaedah penilaian dan pentaksiran yang bersesuaian untuk menilai pencapaian pelajar juga dapat dirangka dengan baik dan berkesan.
Pentaksiran berasaskan sekolah ini akan menyebabkan semua guru mata pelajaran lebih komited dalam menjalankan tugas mereka mendidik pelajar. Ini kerana semua mata pelajaran perlu dinilai dan ditaksir oleh guru-guru dalam pelbagai aspek. Ianya tidaklah hanya menjurus kepada subjek-subjek peperiksaan UPSR seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains sahaja manakala pelajaran-pelajaran lain diabaikan. Murid-murid juga dapat menyeimbangkan pembelajaran mereka dan tidak hanya tertumpu kepada subjek UPSR sahaja. Guru-guru tidak perlu tertekan untuk menandingi prestasi sekolah lain kerana pentaksiran ini dijalankan di sekolah masing-masing tanpa campur tangan pihak atasan.
Kesimpulannya, pelaksanaan PBS dapat memberi manfaat kepada guru dan pelajar. PBS dapat mempertingkatkan pembinaan modal insan, boleh memantau perkembangan modal insan pelajar dan penilaian dalam pengajaran dan pembelajaran. Jika sekiranya pelajar benar-benar boleh membentuk jati diri mereka melalui program ini, maka pihak-pihak yang terlibat perlu memantapkan isi kandungan PBS demi menuju ke arah pendidikan yang lebih holistik dan menuju ke arah mengurangkan exam-orientated.
0 comments:
Post a Comment