-->
skip to main | skip to sidebar

Pendidik Inovatif Generasi Berkualiti

  • Laman
  • Bahan
  • K.I.T.A
  • Soalan
"Selamat membaca" Semoga mendapat manfaat bersama dalam dunia pendidikan 'triopower' kami. Terima kasih.
RSS

Sunday, 2 September 2012

Artikel 2 : Pentaksiran Secara Holistik

19:30

1.0  PENGENALAN
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) mula diperkenalkan pada tahun 2011 yang merupakan satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik. PBS merupakan satu bentuk pentaksiran bidang akademik dan bukan akademik yang dilaksanakan di sekolah secara terancang mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan. PBS dikendalikan oleh pihak sekolah dan pentaksirannya dilaksanakan oleh guru-guru mata pelajaran secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ia menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, beketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara”.
                                                               (Falsafah Pendidikan Kebangsaan)

Peperiksaan UPSR dan PMR akan tetap diteruskan, walaubagaimanapun pentaksiran berasaskan sekolah akan diambil kira dalam menentukan pencapaian keseluruhan murid. Bagi penilaian peringkat sekolah rendah ialah 70% diambil kira daripada pentaksiran berasaskan sekolah dan 30% daripada peperiksaan pusat, manakala bagi penilaian peringkat menengah rendah pula, 50% adalah daripada pentaksiran berasaskan sekolah dan 50% daripada peperiksaan pusat.

Kerajaan memperkenalkan PBS iaitu penilaian berbentuk formatif dan sumatif bertujuan mengesahkan persijilan dan akauntabiliti. PBS juga memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk  melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif yang berasaskan sekolah. Ini akan dapat meningkatkan integriti dan kredibiliti profesion perguruan kerana  guru merupakan orang yang paling sesuai untuk mentaksir murid masing-masing. Mereka mampu memberi bukti-bukti yang lebih autentik. Malah, di universiti dan kolej didapati penilaian dibuat oleh pihak universiti sendiri dan sijil yang dikeluarkan diakui oleh semua pihak. (Abdullah Sani, 2003)

2.0  PERKEMBANGAN HUJAH

Melalui artikel yang dikeluarkan oleh Utusan pada 6 Ogos 2012 bertajuk “Pentaksiran secara Holistik”, PBS merupakan salah satu usaha kerajaan melalui Kementerian Pelajaran dalam membangunkan modal insan secara holistik. Namun, apa yang menjadi persoalannya di sini adalah sejauh mana penerimaan guru-guru dan kesan pelaksanaan PBS ini terhadap guru. Pelbagai isu yang timbul melalui pelaksanaan PBS tidak kira positif mahu pun sebaliknya.
Sistem pentaksiran berasaskan sekolah bukanlah perkara baru bagi warga pendidikan. Pendekatan ini telah pun diamalkan secara berperingkat oleh sekolah terutama yang melibatkan mata pelajaran bersifat amali. Namun, apabila Kementerian Pelajaran membuat keputusan menjadikan sistem pendidikan negara tidak terlalu berorietasikan peperiksaan, pendekatan ini dilihat oleh Kementerian sebagai suatu tindakan yang perlu diperluaskan melibatkan mata pelajaran lain. Usaha mengurangkan pendidikan berorientasikan peperiksaan turut mengambil kira cadangan lain seperti termaktub dalam hala tuju Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Berikut merupakan salah satu fokus dan strategi Kementerian Pelajaran Malaysia dalam membangunkan modal insan yang holistik:

Memantapkan sistem pentaksiran dan penilaian supaya lebih holistik
·         Menyediakan pentaksiran alternatif
·         Mengkaji semula sistem pentaksiran dan penilaian untuk menjadikan persekolahan tidak terlalu berorientasikan peperiksaan
·         Memantapkan kualiti sistem pentaksiran dan penilaian
                               (Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010, RMK-9)

Pentaksiran yang dilaksanakan adalah dalam bentuk pentaksiran formatif; menggantikan sistem pentaksiran berpusat (external assessment) yang dikenali juga sebagai pentaksiran untuk pembelajaran (assessment for learning); di mana pelaksanaannya adalah secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Menurut Butler dan McMunn (2006), pentaksiran formatif bertujuan mencapai matlamat agar pelajar diberi maklumbalas tentang pencapaian mereka. Di dalam bilik darjah guru perlu mengetahui tentang pencapaian murid dari segi pengetahuan atau kemahiran yang telah diperolehi manakala murid pula akan dapat mengenal pasti tahap pembelajaran serta kelemahan yang ada pada diri mereka. Dalam situasi yang sama, guru pula akan menerima maklum balas sama ada pengajaran mereka perlu diubah mengikut kesesuaian dan kefahaman murid itu sendiri (Miller et al., 2009).

Melalui artikel tersebut, dinyatakan bahawa PBS memberi autonomi kepada guru melaksanakan pentaksiran berdasarkan kesediaan pelajar kerana tujuan sistem ini diperkenalkan ialah untuk membantu guru dan pelajar mengenalpasti kekuatan dan kelemahan masing-masing semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Perkara ini membuktikan bahawa guru perlu memainkan peranan penting dalam pelaksanaan PBS dalam kalangan pelajar dalam meningkatkan kualiti pengajaran guru dan pembelajaran pelajar.

Pentaksiran berasaskan sekolah mementingkan peranan guru untuk menilai pelajar. Dalam konteks ini, guru dapat menghakimi kualiti kerja mereka sendiri dan para pelajar. Guru bertanggungjawab mendapatkan maklumat kemajuan dan pencapaian pelajar secara formal dan tidak formal. Apa yang lebih penting di sini ialah wujudnya pentaksiran secara berterusan bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan setiap pelajar supaya bimbingan sewajarnya dapat dilakukan. Pelajar yang masih belum mencapai tahap kemajuan masih berpeluang untuk memperbaiki diri berdasarkan bimbingan yang lebih daripada guru. Murid yang maju pula diberikan pengayaan dengan kewujudan aktiviti yang lebih mencabar untuk meningkatkan pembelajaran ke arah yang lebih cemerlang (PPK,1994)
Pentaksiran ini dilihat sebagai satu pelaksanaan yang penting tidak kira sama ada kepada guru mahu pun pelajar. Hal ini dibuktikan melalui kajian yang dijalankan oleh Black dan William (1998) yang telah mengenal pasti lima faktor penting pentaksiran yang menyumbang kecemerlangan pembelajaran hasil daripada peningkatan piawai seperti berikut:
·         Pentaksiran dijalankan secara berterusan di dalam bilik darjah. Keputusan yang diperoleh digunakan untuk mengubah suai kaedah pengajaran dan pembelajaran dan bukannya untuk perbandingan skor atau gred pelajar.
·         Maklum balas pelajar dan guru dalam bentuk lisan atau bertulis tentang hasil kerja pelajar dimurnikan melalui pentaksiran.
·         Penglibatan aktif pelajar dalam pentaksiran yang dijalankan.
·         Motivasi dan minat pelajar difokus dengan teliti dalam pentaksiran bertujuan untuk mendorong pelajar mempercayai bahawa mereka boleh menguasai pembelajaran yang diajar.
·         Pentaksiran yang mengambil kira masa untuk pelajar menjalankan pentaksiran kendiri secara berkumpulan atau melalui dialog guru dan pelajar.
                                                                                        (Noraini Idris, 2001)

Sebagai pendidik juga kita perlulah mengetahui kegunaan atau tujuan pentaksiran itu sendiri. Pentaksiran semasa proses pengajaran dan pembelajaran mempunyai kesan kepada guru dan pelajar. Salah satu sebab wujudnya proses pentaksiran adalah untuk mengumpul maklumat. Maklumat yang dikumpul ialah dari segi tahap kefahaman pelajar dan bagi mendapatkan maklum balas perkembangan proses pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan sama ada positif atau sebaliknya. Daripada maklum balas yang diterima, guru akan mengetahui sejauh mana keberkesanan pengajaran mereka. Hasil daripada maklumat ini akan digunakan untuk memperbaiki kelemahan dari kedua-dua pihak iaitu guru dan pelajar.
Kecemerlangan pencapaian dalam peperiksaan awam sebenarnya turut dibantu oleh pentaksiran di peringkat sekolah. Di sinilah pentingnya para guru perlu ada pemikiran strategik dalam pelaksanaan pentaksiran tersebut. Perkara ini turut diutarakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Mohd Rauhi bin Mohd Isa, Pengarah Pelajaran Perak dalam ucapan beliau sempena Perhimpunan Bulan Ogos. Beliau menyatakan bahawa guru bukan hanya menjadi penyampai ilmu semata-mata sebaliknya perlu bertindak sebagai pemudahcara. Oleh sebab PBS melibatkan kaedah proses, maka bimbingan berterusan  dan sasaran markah tertinggi dapat membantu meningkatkan pencapaian para pelajar dan sekaligus membantu dalam pencapaian peperiksaan awam. Sekiranya guru dapat memberi komitmen yang tinggi dan sanggup bekerja lebih daripada biasa, tidak mustahil anak-anak didik mereka mampu menunjukkan kecemerlangan.
Amalan pentaksiran harus sesuai dengan tujuan bagi memastikan pelajar dapat dinilai secara menyeluruh. Kaedah yang digunakan harus sesuai dengan hasrat. Oleh itu, seorang guru harus memahami dan menguasai kaedah yang digunakan dalam pentaksiran sekolah. Setiap guru perlu dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran berhubung pentaksiran sekolah supaya mereka dapat melaksankan penilain dengan sewajarnya. Sehubungan itu, latihan di institut perguruan atau universiti untuk guru pelatih dan juga latihan dalam perkhidmatan bagi guru-guru menekankan lebih kepada pentaksiran sekolah. (Juliana Osong, 2008)
Melalui pelaksanaan PBS ini, timbul isu berkaitan guru dibebani tugas untuk mentaksir. Hal ini dibuktikan melalui dapatan Tan (2010) tentang pelaksanaan PBS di Malaysia menemui banyak isu terutama yang berkaitan dengan guru sebagai pelaksana. Pelaksanaan PBS di dapati menambah beban tugas guru di sekolah yang memang telah dibebani dengan tugas‐tugas pentadbiran dan kokurikulum. Ini menyebabkan guru melaksanakan pentaksiran sebagai satu produk dan bukan sebagai satu proses. Guru‐guru juga menghadapi kekangan masa dan kekurangan sumber untuk melaksanakan PBS dengan lebih kreatif.

Tambahan lagi guru juga kurang pemahaman terhadap pendidikan dan konsep pentaksiran itu sendiri. Ini juga dikaitkan dengan tahap kompetensi guru sebagai pembimbing dan pemudahcara melaksanakan pentaksiran di dalam bilik darjah yang kurang kreatif dan kurang profesional. Stiggins (2005) mendapati tidak ramai guru yang betul‐betul bersedia dalam melakukan pentaksiran bilik darjah kerana mereka tidak berpeluang untuk mempelajari teknik‐teknik dan amalan pentaksiran yang betul. Walaupun proses penilaian bukan merupakan perkara baru dalam pendidikan, PBS adalah sesuatu yang baru dan menjadi kebimbangan kepada pihak guru dan sekolah terutama dalam pelaksanaannya (Gardner et al., 2008).
Selain itu, pentaksiran yang dilakukan mungkin akan berat sebelah atau dipengaruhi oleh unsur-unsur ketidakadilan. Hal ini dibuktikan melalui Persidangan Kebangsaan Penilaian Kemajuan Berasaskan Sekolah, 2002: 213 di mana masalah bias boleh berlaku dalam penilaian adalah disebabkan pelajar yang berlainan etnik, jantina, bangsa, latar belakang agama dan sebagainya. Justeru, guru juga tidak seharusnya membanding-bandingkan pelajar tetapi berusaha untuk membantu setiap pelajar menguasai pengetahuan dan kemahiran yang berkesan. Dalam konteks ini, guru yang bertindak sebagai pentaksir hendaklah bersikap profesional dan keterbukaan. Pentaksiran yang dilaksanakan hendaklah dapat menunjukkan apa yang telah dipelajari hasil daripada sesi pembelajaran di dalam bilik darjah.

Ketidakadilan penilaian oleh guru juga disebabkan kegagalan guru menggunakan semua skala penaksiran ketika membuat penilaian dan guru percaya kepada rekod simpan mental yang mempengaruhi tanggapan sebelumnya ke atas pelajar. (Abdullah Sani Yahaya, 2003). Perkara ini dibuktikan melalui salah satu daripada lima dapatan kajian Pelaksanaan Penilaian Kendalian Sekolah Menengah oleh jawatankuasa Penyelarasan Penyelidikan Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia, menunjukkan guru menjalankan penilaian secara kelas berbanding cara individu atau kumpulan. (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1994: 42). Hal ini memungkinkan guru bias kepada kelas-kelasnya yang terbaik iaitu kumpulan pelajar yang terserlah pencapaian akademiknya.
Oleh kerana wujudnya masalah bias ketika pentaksiran, maka ia perlulah diatasi supaya tidak timbul masalah yang lebih serius. Menurut pendapat Abdullah Sani Yahaya, 2003 yang mengatakan Kursus Pengurusan Penilaian Berasaskan Sekolah (KPPBS) patut dibuat untuk memberi pendedahan dalam pengurusan penilaian berasaskan sekolah kepada pengetua, guru besar, guru penolong kanan, ketua panitia, ketua bidang dan pegawai pendidikan yang terlibat dalam penilaian di sekolah. Tambah beliau lagi, guru mata pelajaran perlu diberi kursus dan pendedahan secukupnya berkenaan aspek-aspek penilaian supaya mereka betul-betul memahami tentang prosedur dan kriteria-kriteria pemarkahan.
Integriti guru juga tidak boleh dipertikaikan dalam pelaksanaan PBS ini kerana adanya mekanisme penjaminan kualiti yang akan dijalankan sepanjang pelaksanaan PBS iaitu pementoran, penyelarasan, pemantauan dan pengesanan. Sistem pengawasan dan pemantauan ke atas guru-guru ini adalah bagi memastikan mereka melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik dan penuh dedikasi. Hal ini juga adalah bagi mengelakkan para guru menyeleweng daripada tugas yang telah diamanahkan (Kementerian Pelajaran Malaysia). Oleh itu, setiap individu yang terlibat dalam pembangunan atau pelaksanaan pentaksiran pendidikan adalah bertanggungjawab menjamin kualiti dan mutu pentaksiran yang dikendalikan.

3.0 IMPLIKASI

Sebagaimana yang sedia maklum oleh para guru, pentaksiran merupakan proses kitaran yang berterusan. Mentaksir kemajuan akademik telah menjadi salah satu daripada tanggungjawab penting bagi mana-mana pendidik profesional. Antara kesan positif pentaksiran kepada guru ialah:
i)             Membolehkan guru menetapkan standard kerja dan memikirkan cara memperbaik amalan kerja mereka.
ii)            Membantu guru merancang pengajaran yang berkesan yang memenuhi keperluan individu setiap pelajar.
iii)           Memastikan segala strategi pengajaran dan pembelajaran terbukti berkesan.
iv)           Membolehkan guru memantau kemajuan pelajar secara berkesan bagi memastikan sasaran tercapai.
                                                                                        (Rayment. T, 2006)

Berdasarkan kesan positif pentaksiran tersebut terbuktilah bahawa pelaksanaan pentaksiran berasaskan sekolah dapat memberi faedah kepada para pendidik khususnya. Pihak sekolah bertanggungjawab melaksanakan PBS yang melibatkan guru mata pelajaran itu sendiri. Pelaksanaan PBS secara berterusan ini memudahkan guru itu sendiri membuat penilaian dan penambahbaikan kepada pencapaian pelajar di sekolah. Guru mata pelajaran dipertanggungjawabkan menyediakan instrumen dan membuat penskoran bagi menentukan band pelajar.
Pentaksiran berasaskan sekolah amat penting bagi guru kerana ia merupakan satu cabang untuk mentaksir pelajar dengan menggunakan pengukur yang disediakan sejajar dengan matlamat setiap mata pelajaran. Melalui PBS, guru dapat mengetahui tahap kefahaman pelajar dan dapat mengenal pasti kelemahan dan kekuatan pelajar lalu membahagikan mereka kepada kumpulan pemulihan atau pengayaan. Setelah kekurangan dan kekuatan yang dimiliki oleh pelajar dikesan, guru dapat memilih pelbagai teknik dan pendekatan yang sesuai dan menyeronokkan agar dapat menarik minat dan tumpuan pelajar untuk belajar dengan tekun. Seterusnya ia dapat mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan berkesan kepada pelajar khususnya.
Sebagai seorang pendidik, mereka boleh memperbaiki kelemahan dan kekurangan dalam pengajaran dan pembelajaran. Melalui PBS, ia dapat menggalakkan semua pendidik di kalangan individu dan sekolah dengan menggunakan multimedia sebagai kumpulan media berasaskan komputer. Hal ini boleh menggurangkan beban setiap pendidik untuk menyemak buku latihan, kertas peperiksaan dan sebagainya. Dengan pentaksiran, guru dapat memberi dan menetapkan penggredan serta dapat menentukan keberkesanan pengajaran dalam setiap sesi pengajarannya. Pentaksiran berasaskan sekolah juga menggalakkan hubungan dua hala melalui peluang yang diberi kepada pelajar untuk bertanya dan seterusnya mendapat bimbingan dan penjelasan lebih lanjut tentang prestasi yang ditunjukkan dan bagaimaa meningkatkannya. Hal ini kerana maklum balas daripada pentaksir iaitu guru dapat diberikan terus kepada murid dengan kadar yang segera.
Merujuk kepada kata pengantar Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dalam Dokumen pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS) yang diperkenalkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (2003), Abdul Rafie Mahat menjelaskan bahawa untuk memastikan kualiti pendidikan di negara ini, maka pentaksiran perlu dilakukan setiap hari sama ada di dalam atau di luar bilik darjah supaya pemulihan dan penambahbaikan dapat dilakukan demi meransang pembelajaran.
Pentaksiran berasaskan sekolah ini sebenarnya telah memartabatkan maruah guru. Kenyataan ini disokong melalui penyataan Yang Berbahagia Dato’ Mohd Rauhi bin Mohd Isa, Pengarah Pelajaran Perak dalam ucapan beliau sempena Perhimpunan Bulan Ogos yang mengatakan bahawa guru diberi autoriti untuk menilai dan memberi markah. Implikasinya, guru tersebut akan lebih bertanggungjawab terhadap tindakannya. Keduanya, integriti guru dalam pemberian markah diakui kesahannya. Sifat keintegritian tersebut lebih memudahkan seseorang itu melaksanakan tugasnya dengan tangkas, tepat, dan menjamin keberhasilan yang berkualiti.
Dalam merealisasikan tugas guru yang semakin mencabar ini bukanlah satu bebanan terutamanya dengan pengenalan PBS. Walhal pengenalan program ini merupakan satu instrumen yang perlu diperkasakan kerana secara tidak langsung ia akan lebih memberi kesan positif kepada guru terutama dalam penyediaan rancangan pengajaran. Malahan isu bebanan sepatutnya tidak wujud kerana masa dan tugas pelaksanaannya terpulang kepada guru itu sendiri untuk menentukannya.  Pentaksiran tidak membebankan guru untuk menghabiskan sukatan pelajaran dengan tergesa-gesa. Misalnya, guru-guru tahun 6 perlu menghabiskan sukatan pelajaran lebih awal bagi membuat persediaan untuk pelajar menghadapi UPSR. Dalam pentaksiran berasaskan sekolah, guru-guru dapat mengajar dengan tenang dan mengikut rancangan pengajaran dengan lebih tersusun tanpa perlu tergesa-gesa menghabiskannya. Ini kerana mereka sendiri yang akan menyediakan instrumen untuk menilai pelajar masing-masing.

Di samping itu, pentaksiran dapat menerapkan nilai murni dan akhlak yang mulia secara holistik semasa proses pentaksiran. Dalam hal ini guru tidak perlu mengadakan ujian atau peperiksaan yang formal tetapi guru tetap mendidik menggunakan proses pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran secara bersepadu. PBS yang dilaksanakan dalam bentuk pentaksiran formatif membolehkan pelajar ditaksir melalui pemerhatian, ujian lisan, perbincangan, temu bual dan penulisan semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Pentaksiran sumatif pula boleh dilakukan pada akhir unit pembelajaran, semester atau tahun. Ini dapat membantu guru memantapkan pembelajaran pelajar berdasarkan maklumat yang diperoleh dan seterusnya mengubah suai strategi pengajaran yang lebih efektif. Hal ini dapat meningkatkan amalan pengajaran guru



4.0 CADANGAN/RUMUSAN
Kesedaran terhadap kepentingan untuk mentafsir pembelajaran murid dalam pelbagai aspek seperti jasmani, emosi, kognitif, afektif, dan sosial telah membawa kepada amalan penggunaan pelbagai teknik pentaksiran dijalankan.  Hal ini selaras dan bertepatan dengan kehendak dan usaha murni bidang pendidikan untuk melahirkan insan yang seimbang jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Kesedaran juga wujud terhadap kepentingan penggunaan pelbagai teknik mentafsir dalam meningkatkan kesahan konstruk yang diukur dan seterusnya meningkatkan kesahan maklumat pentaksiran yang digunakan guru untuk membuat keputusan berkaitan pembelajaran pelajar. (Brookhart, 2009)
Menyedari kepentingan penggunaan pelbagai teknik pentaksiran dalam proses pengajaran dan pembelajaran, maka dicadangkan kepada pihak pendidikan peringkat sekolah, daerah, negeri dan  kebangsaan mengadakan lebih banyak bengkel dan latihan secara  hands-on untuk  mendedahkan guru-guru agar lebih berkualiti dalam proses pentaksiran. Menurut Suzana Abd Mutalib (2012), guru perlu didedahkan dengan pelbagai pengetahuan tentang pentaksiran termasuk tujuan, masa pelaksanaan, teknik melaksanakan, membuat pemerhatian, mengumpul maklumat, merekdo, mentafsir dan menggunakan maklumat pentaksiran untuk memperbaik amalan pengajaran dan pembelajaran.
Black dan Wiliam (1998) yang menjelaskan apa yang sebenarnya telah berlaku di sekolah‐sekolah semasa pelaksanaan pentaksiran formatif ialah tentang kesukaran pelaksanaannya di dalam bilik darjah dan kepercayaan masyarakat tentang keberkesanannya dalam meningkatkan pencapaian murid serta bagaimana cara untuk melakukan peningkatan tersebut. Satu daripada cadangan beliau adalah dengan melihat keperluan latihan serta sistem sokongan lain kepada guru‐guru di sekolah. Justeru, pihak berwajib perlu merancang dan melaksanakan satu pendekatan untuk memastikan guru-guru dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran tentang instrumen yang sesuai dengan pentaksiran sekolah. Guru-guru perlu diberi bimbingan, sokongan dan mandat dalam melaksanakan program ini secara seratus peratus komitmen oleh guru-guru.
Memandangkan PBS lebih dikendalikan oleh guru di sekolah, maka aspek kualiti amatlah perlu dititikberatkan. Walau bagaimanapun didapati aspek ini masih kurang diberikan perhatian. Stiggins dan Bridgeford (1985) menyatakan bahawa masih wujud masalah dalam mengawal kualiti pentaksiran yang berasaskan pemerhatian dan penilaian. Stiggins, Griswold dan Wikelund (1989) mendapati guru yang dilatih untuk mengajar kemahiran berfikir ada kecenderungan untuk menanyakan soalan kemahiran berfikir yang tinggi berbanding dengan mereka yang tidak dilatih.

Dalam memastikan keberkesanan penilaian kerja kursus sebagai alat pengukuran terletak kepada kemampuan guru untuk mentadbir dan memberikan skor dengan objektif dan adil. Bagi memastikan keadilan ini, guru perlu menjalankan pemeriksaan dengan teliti dan cermat, menilai dengan hati dan kalbu, membuat pertimbangan yang wajar serta bersikap lebih kepada membantu bukan tegas (Azizi dan Mohd Isha, 2008). Dalam hal ini, guru juga harus memiliki ilmu pengetahuan dan kefahaman yang mendalam dalam aspek yang dinilai supaya pentaksiran yang dilaksana adalah adalah tepat dan memberikan maklum balas yang sebenar tentang tahap seseorang pelajar berkenaan.










5.0 KESIMPULAN

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) pada pendapat saya sangat sesuai diaplikasikan sebagai salah satu kaedah penilaian pelajar kita pada zaman ini. Jika kita lihat kesan daripada sistem penilaian yang berasaskan peperiksaan sepenuhnya telah banyak membentuk pelajar mementingkan keputusan peperiksaan semata mata, akhirnya perkembangan potensi mereka tidak berkembang secara seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial, seterusnya menggagalkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Saya juga berpendapat pelaksanaan PBS adalah wajar supaya pencapaian pelajar tidak hanya dinilai atau ditaksir hanya menggunakan ujian pensil dan kertas semata‐mata, tetapi perlu beralih arah kepada pentaksiran yang lebih menyeluruh seperti penyediaan kerja kursus atau projek yang lebih bersifat autentik. Malah melalui PBS juga dapat mengubah pendekatan pengajaran dan pembelajaran, misalnya dengan memperbanyakkan pendekatan pengurusan projek. Jika ini diperbanyakkan maka kaedah penilaian dan pentaksiran yang bersesuaian untuk menilai pencapaian pelajar juga dapat dirangka dengan baik dan berkesan.

Pentaksiran berasaskan sekolah ini akan menyebabkan semua guru mata pelajaran lebih komited dalam menjalankan tugas mereka mendidik pelajar. Ini kerana semua mata pelajaran perlu dinilai dan ditaksir oleh guru-guru dalam pelbagai aspek. Ianya tidaklah hanya menjurus kepada subjek-subjek peperiksaan UPSR seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains sahaja manakala pelajaran-pelajaran lain diabaikan. Murid-murid juga dapat menyeimbangkan pembelajaran mereka dan tidak hanya tertumpu kepada subjek UPSR sahaja. Guru-guru tidak perlu tertekan untuk menandingi prestasi sekolah lain kerana pentaksiran ini dijalankan di sekolah masing-masing tanpa campur tangan pihak atasan.


Kesimpulannya, pelaksanaan PBS dapat memberi manfaat kepada guru dan pelajar. PBS dapat mempertingkatkan pembinaan modal insan, boleh memantau perkembangan modal insan pelajar dan penilaian dalam pengajaran dan pembelajaran. Jika sekiranya pelajar benar-benar boleh membentuk jati diri mereka melalui program ini, maka pihak-pihak yang terlibat perlu memantapkan isi kandungan PBS demi menuju ke arah pendidikan yang lebih holistik dan menuju ke arah mengurangkan exam-orientated.
Reade More >>

Read Comments
  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Posted by Unknown

Artikel 1: Pendidikan Islam Dimantapkan

06:00


1.0 Reviu Artikel
“Pendidikan adalah suatu yang sejagat dan tiada perbezaan antara miskin atau kaya. Dalam sistem pendidikan kita, sekolah adalah untuk semua, kita tentukan mereka mesti ke sekolah, tiada yang tertinggal, tiada yang terkecuali”
Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pelajaran Malaysia.

Ungkapan tersebut dipetik dari Utusan Online bertarikh 25 Ogos 2012 yang menerangkan kepentingan pendidikan bagi rakyat dan tidak ada perbezaan bagi golongan miskin atau kaya. Ini menunjukkan pendidikan amat penting dalam masyarakat era globalisasi untuk bersaing dengan cabaran semasa dan tanpa pendidikan seperti orang buta yang berjalan dalam gelap. Artikel bertarikh 25 Ogos 2012 yang bertajuk ‘Pendidikan Islam dimantapkan’ sedikit sebanyak menceritakan mengenai mata pelajaran Pendidikan Islam yang perlu diperkembangkan dari segi kurikulum, sumber guru dan perluasan bidang Pendidikan Islam di sekolah.
Dalam artikel tersebut, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan perkara mengenai mata pelajaran Pendidikan Islam perlu dimantapkan dalam mesyuarat khas Bahagian Pendidikan Islam. Perkara ini akan dilaksanakan menurut Menteri Pelajaran tersebut, kekurangan guru j-Qaf untuk mengajar dan guru Pendidikan Islam yang ramai layak mengajar murid dalam soal berkaitan Jawi, Agama Islam dan Al-Quran. Tambahan dalam artikel berkenaan ada menyatakan mata pelajaran Pendidikan Islam juga perlu diperluaskan dalam bidang pendidikan. Pendapat saya mengenai artikel ini ialah  Pendidikan Islam di sekolah akan membawa kepentingan dan impak yang positif kepada pembentukan sahsiah murid. Tambahan, pelbagai isu dan gejala sosial dikaitkan dengan murid sekolah amat membimbangkan pada masa sekarang.
Sehubungan itu, beberapa tujuan mata pelajaran Pendidikan Islam perlu diajar di sekolah kerana untuk mendidik murid supaya berakhlak mulia, mendidik roh supaya halus dan sempurna, mengasuh murid melakukan yang baik, terhormat dan mulia, membiasakan diri murid dengan adab-adab yang mulia dan tujuan yang terakhir ialah membiasakan diri murid dengan kebersihan, kesucian dan keikhlasan serta amalan-amalan yang mulia (Abd Halim dalam Choong, 2009). Kesemua tujuan ini menunjukkan impak yang positif mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah.
               Dalam konteks ini, Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperkenalkan j-Qaf untuk memantapkan lagi bidang pelajaran Pendidikan Islam ini. Projek j-Qaf yang dimaksudkan ialah projek untuk mengukuh dan memperkasakan Pendidikan Islam dengan menerapkan kurikulum Jawi supaya murid dapat menguasai jawi dengan baik, kurikulum Al-Quran untuk murid khatam Al-Quran sebelum ke sekolah menengah, kurikulum bahasa Arab untuk murid mempelajari bahasa Arab komunikasi dan asas-asas bahasa Arab dan kurikulum Fardhu Ain untuk murid menguasai fardhu ain khusunya solat lima waktu. Semua kurikulum ini memberi penekanan kepada sekolah rendah (Projek j-QAF, http://www.sabah.edu.my/skpmtdon/notes/Panduan%20KBS.pdf).
               Pelaksanaan j-Qaf di peringkat sekolah rendah dimulakan pada 2005. Selepas pelaksanaannya selama 6 tahun didapati ia sangat berkesan dan memberi impak besar kepada sahsiah dan tingkah laku murid. Berdasarkan kajian didapati melebihi 94% murid dapat menguasai empat kemahiran asas iaitu tulisan jawi, membaca Al-Quran, asas berkomunikasi dalam bahasa Arab dan memahami keperluan fardhu ain. Dengan kejayaan itu sudah sampai masanya Kementerian Pelajaran meluaskan program j-Qaf itu ke peringkat menengah supaya dapat dimanfaatkan lebih ramai murid.
               Berbalik kepada artikel isu Pendidikan Islam perlu dimantapkan, projek j-Qaf ini disediakan bagi tujuan tersebut. Bukan guru Pendidikan Islam tidak mahir mengajar dalam kurikulum yang tambahan ini, memandangkan Pendidikan Islam yang diajar di sekolah belum cukup mantap dan berkesan dalam pembentukan sahsiah diri serta keperibadian diri para pelajar dalam mendalami Agama Islam yang sebenarnya. Tambahan pemantapan Pendidikan Islam melalui j-Qaf ini ialah medium pengintegrasian secara berhemah sistem Pendidikan Islam dengan kurikulum kebangsaan. Selain itu, matlamat pelaksanaan strategi ini adalah supaya pelajar dapat khatam Al-Quran dalam alam persekolahan (Mohd Zubir etl. 2005).
               Kemudian, bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Murad Mohamad Nor mengatakan mempelajari bahasa Arab, Jawi dan harus khatam Al-Quran dianggap sebagai satu langkah ‘baik pulih’ yang akan menyumbangkan kepada pembinaan keperibadian pelajar Islam yang lebih menyeluruh (Mohd Zubir etl. 2005). Oleh itu, Kementerian Pelajaran Malaysia haruslah memantapkan kurikulum Pendidikan Islam dengan sebaik-baiknya supaya apabila kurikulum ini digunakan kelak akan melahirkan pelajar yang mempunyai jati diri islam yang betul-betul melaksanakan syariat agama itu sendiri.
2.0 Hujah Berkaitan Artikel
               Ada pihak mengaitkan ketidakeberkesanan kaedah pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Agama Islam dengan berleluasanya gejala sosial dalam masyarakat kita terutama di kalangan golongan remaja. Isu mat rempit, pergaulan bebas, pembuangan bayi, penyalahgunaan dadah dan sebagainya dikatakan boleh dikurangkan jika mereka menghayati dan mengamalkan pendidikan agama di sekolah. Merujuk satu artikel yang dikeluarkan oleh Muhd Shatar pada 12 Disember 2012 yang bertajuk ‘Pendidikan Islam gagal dijiwai pelajar’ memaparkan jenis-jenis gejala sosial yang sedang berlaku melibatkan remaja yang bersekolah. Beliau merasa bimbang dengan remaja yang belajar mengenai Pendidikan Islam tetapi masih lagi terlibat dengan gejala sosial disebabkan sema-mata ingin mendapat kejayaan pada peringkat peperiksaan PMR dan SPM. Dalam artikel yang sama, penulis tersebut menyatakan natijah daripada kurang keyakinan terhadap agama atau sekadar mewarisi pada nama.
            Bagi membalas kenyataan isu Pendidikan Islam perlu dimantapkan, Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Unit Komunikasi Korporat menerangkan secara jelas bagaimana usaha yang diambil oleh kerajaan untuk menangani isu Pendidikan Islam yang perlu dijiwai oleh pelajar di samping guru perlu memantapkan Pendidikan Islam di sekolah. Selepas kurikulum Pendidikan Islam menjadi salah satu komponen dalam Kurikulum Kebangsaan guru perlu mengambil peluang ini untuk memberikan Pendidikan Islam yang lengkap dan holistik mengikut keperluan murid-murid di sekolah. Dalam kurikulum tersebut merangkumi aspek hidup dan amalan bagi seorang muslim. Peranan guru dalam mengemudi proses pengajaran dan pembelajaran dengan baik dan terancang supaya pembelajaran boleh melekat di minda setiap pelajar supaya memberi kesan yang positif kepada pembangunan sahsiah pelajar.
            Dalam kurikulum ini juga, ia menekankan aspek ilmu, amali, amalan, penghayatan dan pembudayaan (http://www.moe.gov.my). Secara menyeluruhnya, Pendidikan Islam yang dijalankan di sekolah melibatkan aspek-aspek tersebut. Guru telah mengaplikasikan pengajaran dengan memberikan pengetahuan dan kefahaman yang mencukupi mengenai persoalan kehidupan kepada murid-murid. Pelajaran ini dapat diaplikasikan oleh murid dalam kehidupan seharian mereka bagi melahirkan kehidupan insan yang seimbang dan berakhlak.
            Permasalahan mengenai gejala sosial melibatkan murid-murid sekolah dan remaja yang berleluasa pada masa sekarang bukan disebabkan faktor kurang penghayatan di sekolah. Masalah seperti ini tidak akan selesai jika saling menuding jari antara satu sama lain. Pendidikan anak-anak terdapat di rumah dan di sekolah. Jika di sekolah guru sudah memainkan peranan, ibu bapa di rumah perlu meneruskan peranan tersebut supaya benda yang negatif tidak akan berlaku
  Memang ada benarnya murid kurang penghayatan ilmu agama di sekolah. Jika persoalan ini terjadi, pendidik atau bakal pendidik perlu merenung sejenak dan berfikir di mana silapnya pengajaran yang baik ini. Ilmu Pendidikan Islam merupakan satu pengetahuan yang amat berguna diaplikasikan, tambahan dalam era globalisasi terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi. Dengan berbekalkan ilmu agama yang mencukupi dapat melahirkan insan yang seimbang dari segi pembentukan sahsiah, jati diri dan akhlak. Sesungguhnya, pemantapan Pendidikan Islam di sekolah amat digalakkan, guru yang mengajar mata pelajaran tersebut perlu lebih peka dengan permasalahan pelajar pada masa sekarang. Bukan melihat dari sudut murid yang lulus ujian dan peperiksaan tidak akan menimbulkan masalah. Jika ini terjadi, bermakna murid kurang penghayatan yang dibawa oleh guru. Di sini menunjukkan peranan guru sebagai agen perubahan dan pembimbing murid-murid.
3.0 Cadangan Berkaitan Isu
            Usaha kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia dalam menangani pelbagai gejala sosial yang dikaitkan juga dengan kurang memahami isi Pendidikan Islam di sekolah mendapat perhatian. Dalam konteks sekolah, pengurus atau pentadbir sekolah boleh membenarkan guru Pendidikan Agama Islam mengajar subjek guru j-Qaf akibat kekurangan guru j-Qaf kerana mereka masih dalam bidang yang sama. Selain itu, akhlak seorang guru juga perlu dijaga supaya murid menghormati dan menjadikan guru sebagai rol model. Dari segi kurikulum Pendidikan Islam pula kerajaan akan membuat kajian untuk penambahbaikan demi melahirkan generasi yang bertamadun melalui pendidikan.
            Penambahan guru j-Qaf dan guru agama amat penting untuk memberikan khidmat di sekolah-sekolah yang mempunyai masalah gejala sosial ini selain dapat memantapkan mata pelajaran ini. Guru juga perlu dibekalkan dengan ilmu yang luas supaya dapat menangani pelbagai masalah di sekolah. Jika pelbagai masalah dapat ditangani melalui Pendidikan Islam ini dapat mewujudkan satu generasi yang mempunyai akhlak yang mulia. Tambahan, kemunculan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan KSSM dalam Pendidikan Islam memberikan penekanan kepada aspek penghayatan murid terhadap ilmu yang dipelajari. Guru perlu melaksanakan pelbagai strategi pengajaran seperti menambah masa pelaksanaan amali untuk menanamkan penghayatan murid terhadap ilmu yang dipelajari meningkat.
Amali di sekolah berperanan memberi pendedahan dan pengalaman kepada murid. Murid bukan sahaja dapat meningkatkan penghayatan dan kefahaman malah ilmu yang mereka perolehi menjadi kesan di minda mereka. penambahan masa amali juga memberikan peluang kepada murid untuk mendalami ilmu agama di sekolah. Bukan semua murid akan berpeluang mendalami ilmu agama di rumah di sebabkan kesibukan keluarga dan hal lain. Maka sekolah menjadi tempat untuk mempelajari pengetahuan baharu. Namun, guru perlu mengambil peluang ini mempelbagaikan strategi pengajaran supaya dapat menghasilkan pengajaran Pendidikan Islam yang berkualiti dan memberi impak yang positif kepada murid.
Kemudian, usaha ini diperkukuhkan lagi dengan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang menilai murid secara holistik dan tidak terhad kepada aspek intelek sahaja menurut Kementerian Pelajaran Malaysia. Di sini, bukan untuk lulus ujian atau peperiksaan semata-mata. Ilmu Pendidikan Islam dapat dimantapkan lagi dengan pelaksanaan PBS. Penilaian seperti ini melalui pemerhatian dan analisis mengenai perkembangan murid dari masa ke semasa. Guru dapat mengesan permasalahan proses pengajaran dan pembelajaran murid di samping cuba menyelesaikan dengan pelbagai cara. Di samping itu, guru boleh menggunakan PBS untuk menilai prestasi murid secara holistik.
4.0 Implikasi Pemantapan Pendidikan Islam
            Melalui pemantapan Pendidikan Islam di sekolah, ia akan memberikan impak antaranya dapat menghasilkan tamadun umat yang tinggi, memberi sumbangan terhadap pembangunan, wujud kesepaduan daripada pelbagai imu, mengaitkan apa yang dipelajari dengan bidang lain, melahirkan insan bertakwa, harmonis dan seimbang mengikut Kementerian Pelajaran Malaysia (http://www.moe.gov.my).
            Implikasi yang pertama ialah menghasilkan tamadun umat yang tinggi. Kesan ini boleh dilihat daripada apa yang telah dicapai oleh negara dan apa yang telah terjadi di sebaliknya. Tamadun manusia semakin rapuh agamanya, maka pembentukan keperibadian dan sahsiah yang mulia bermula dari sekolah dan rumah. Peranan guru perlu dimainkan dengan betul supaya murid tidak terpesong dan mempunyai kekuatan dalam agamanya.
Dalam konteks Pendidikan Islam dimantapkan membawa maksud dari segi persembahan guru di sekolah dan kesan kepada murid. Kita sedia maklum, jika murid-murid mempunyai penghayatan agama yang baik, gejala sosial tidak akan berlaku di kalangan murid sekolah. Tidak perlu menyalahkan sesiapa, yang diperlukan ialah sifat tanggungjawab untuk merealisasikan matlamat dalam pendidikan untuk menghasilkan modal insan kelas pertama yang mempunyai perkembangan menyeluruh.
Kemudian, implikasi yang kedua pula memberi sumbangan terhadap pembangunan negara. Jika negara dapat melahirkan generasi kelas A, maka ia tidak ada masalah dalam pembangunan negara. Melalui pemantapan Pendidikan Islam di sekolah, individu dapat melihat baik dan buruk sesuatu dalam membuat keputusan. Dari aspek tugas guru pula, jika boleh melahirkan murid-murid yang bertakwa dengan memegang kepada agama yang betul sedikit sebanyak telah menyumbang kepada pembangunan negara. Pendidikan merupakan landasan penting yang perlu dilalui untuk meningkatkan dan mencapai tahap pembangunan yang dikehendaki. Pendidik perlu menanam nilai-nilai murni dalam masyarakat dan ini penting untuk membentuk generasi muda kea rah sahsiah diri yang baik.
Seterusnya, kewujudan kesepaduan dalam pelbagai bidang membawa maksud Pendidikan Islam dapat diintegrasikan dalam mata pelajaran lain demi usaha melahirkan insan yang cemerlang. Bukan sahaja secara langsung dari pembelajaran Pendidikan Islam, bahkan melalui subjek lain dapat dikaitkan dengan Pendidikan Islam supaya subjek ini dipandang secara syumul bukan hanya berada dalam kotaknya sendiri. Kepelbagaian pembelajaran seperti ini dapat menimbulkan warna-warni dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Tambahan, murid dapat menimbulkan minat dan penghayatan dalam pelajaran.
Di samping itu, kesan daripada pemantapan subjek Pendidikan Islam melalui guru-gurunya dapat melahirkan insan yang bertakwa, harmonis dan seimbang. Agama tonggak kepada sahsiah seseorang. Jadi tidak menjadi masalah melalui Pendidikan Islam yang kukuh boleh melahirkan generasi yang boleh diharapkan untuk mentadbir negara.
5.0 Rumusan
Pendidikan ialah matlamat utama melahirkan individu Muslim yang berilmu dan membina masa depan ummah. Peredaran zaman memberi kesan kepada perubahan gaya hidup manusia termasuklah cara bertindak dan berfikir. Bagi menjana ummah berkualiti, pendidikan bersepadu dan menyeluruh membabitkan fardhu ain, fardhu kifayah dan teknologi maklumat perlu dititikberatkan. Umat Islam dituntut memperkukuh ilmu fardhu ain dengan mendalami pengetahuan agama seperti dalam bidang tafsir Al-Quran, hadis, fiqh, akidah dan sebagainya sebagai benteng kepada keutuhan, kekuatan iman serta pegangan agama Islam.
Guru merupakan individu yang terlibat secara langsung dalam proses pengajaran dan pembelajaran bersemuka dengan pelajar pada setiap hari persekolahan. Guru merupakan model yang sangat penting dalam menyalurkan mesej tentang amalan nilai-nilai, kepercayaan, falsafah dan sikap kepada anak didik mereka (Noriati etl. 2010). Dalam usaha kea rah ini, guru perlu memainkan peranan dengan sehabis baik. Bukan sahaja guru Pedidikan Islam, bahkan guru dari mata pelajaran lain boleh mengintegrasikan dengan subjek ini demi memantapkan ilmu Pendidikan Islam di sekolah.
Hakikatnya, pada gurulah letaknya harapan kita untuk melonjakkan kualiti pendidikan Malaysia ke tahap terbaik demi memastikan Negara dapat melahirkan modal insan yang berkualiti memacu transformasi kita ke tahap lebih cemerlang (Institut Terjemahan Negara, 2011).
Reade More >>

Read Comments
  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Posted by Unknown

Wednesday, 29 August 2012

Artikel 3: Ke Arah Sistem Pendidikan Holistik

Labels: Artikel
19:25



1.0       PENGENALAN

Berdasarkan soalan tugasan bagi kursus Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru (EDU 3108),iaitu pemilihan artikel berkaitan isu guru atau keguruan, saya telah memilih isu berkaitan ‘Ke Arah Sistem Pendidikan Holistik’ yang dipetik daripada akhbar perdana Utusan Online bertarikh 20 Mac 2012. Artikel ini telah ditulis oleh Rohami Shafie mengenai rombakan dasar pendidikan yang telah diumumkan oleh pihak kerajaan. Kandungan bagi artikel yang ditulis ini berkisar mengenai sistem pendidikan yang telah lama tidak dirombak sejak tahun 1979. Panel Pelan Pembangunan Pendidikan dan Perancangan Strategik Sistem Pendidikan telah ditubuhkan bagi mengadakan siri dialog pendidikan nasional bagi membincangkan kelemahan yang terdapat dalam sistem pendidikan Negara yang perlu ditangani segera.

Kelemahan yang dapat dikesan dalam sistem pendidikan Negara pada masa ini ialah dimana sistem telalu menumpukan aspek kejayaan meritokrasi melalui penilaian berasaskan peperiksaan dengan meminggirkan aspek akhlak mulia pelajar. Penerapan akhlak dan adab mulia pada pelajar sepatutnya menjadi keutamaan bagi membentuk karekter para pelajar memandangkan masalah sosial yang kian membelenggu generasi muda pada masa kini. Kepentingan adab dan akhlak bagi para pelajar menurut artikel ini adalah perlu bagi memastikan pembentukan sifat-sifat mulia di kalangan generasi pada masa hadapan seperti jujur, amanah, bertanggungjawab, sabar, tabah, cekal, yakin pada diri sendiri, mempunyai jati diri yang tinggi dan berani menyuarakan pendapat dengan cara berhemah.

Penulis turut menyatakan kesan daripada pengabaian adab dan akhlak dalam sistem pendidikan Negara kepada para pelajar. Antara kesan yang terkandung dalam artikel ialah sekiranya sistem pendidikan dapat membentuk ilmuwan yang hebat ilmunya, namun jika tanpa akhlak yang membentuknya maka mereka akan menggunakan ilmu tersebut untuk tujuan membangga diri, riak dan takbur dengan ilmu yang sedikit itu. Kesan-kesan lain yang dinyatakan ialah walaupun ramai golongan yang kaya-raya dapat dilahirkan namun tanpa akhlak yang baik, mereka menjadi lokek dan tidak sanggup membantu golongan miskin yang memerlukan.   

Berdasarkan penerangan serba sedikit mengenai artikel yang dipilih iaitu, ‘Ke arah Sistem Pendidikan Holistik’ yang ditulis oleh Rohami Shafie, tujuan saya memilih artikel ini adalah bagi melihat implikasi rombakan sistem pendidikan di Malaysia kepada para pendidik. Aspek yang ingin saya ketengahkan dalam ulasan artikel ini ialah peranan guru dan kandungan ilmu pengetahuan oleh guru kesan daripada rombakan sistem pendidikan Negara.
























2.0       PERKEMBANGAN ISI

Sebelum mendalami proses perkembangan dalam sistem pendidikan di Malaysia, definisi dan makna bagi pendidikan akan diterjemahkan terlebih dahulu. Definisi pendidikan menurut John Dewey yang ditulis dalam Pengantar Pendidikan TERAS ialah pendidikan sebagai proses perkembangan individu. Pendidikan juga merupakan usaha bagi mengatur ilmu pengetahuan bagi menambahkan lagi ilmu pengetahuan semula jadi yang ada supaya kehidupan akan menjadi lebih berguna dan selamat. Pendapat tokoh yang lain pula ialah daripada Sharifah Alwiah Alsagoff yang menyatakan bahawa pendidikan merupakan proses atau aktiviti seperti yang berikut:
1)    Pendidikan sebagai proses persekolahan formal.
2)    Pendidikan sebagai proses latihan.
3)    Pendidikan sebagai proses perkembangan fizikal, intelek, sosial dan emosi seseorang individu.
4)    Pendidikan sebagai proses indoktrinasi dengan tujuan agar pelajar akan mempercayai apa yang disampaikan.
5)    Pendidikan sebagai proses yangberterusan untuk kemajuan individu seumur hidup.
6)    Pendidikan sebagai aktiviti yang bersepadu untuk mencapaimatlamat seperti memperoleh kemahiran pengetahuan dan sikap dengan intergasi.
7)    Pendidikan sebagai suatu disiplin, seni dan sains.

Ulasan bagi subtopik ini mengetengahkan mengenai perjalanan perkembangan sistem pendidikan dan berfokuskan kepada perspektif guru. Sistem pendidikan di Malaysia telah bermula sebelum merdeka iaitu dari tahun 1400 hingga tahun 1956. Berikut merupakan Rajah 1 yang menunjukkan sistem pendidikan sebelum merdeka.

Rajah 1. Sistem Pendidikan Sebelum Merdeka (1400-1956)
(Dipetik daripada Choong, L.K (2009). Falsafah dan Pendidikan   di Malaysia. Selangor: Kumpulan Budiman.)

Sistem pendidikan sebelum merdeka terbahagi kepada dua fasa, iaitu sebelum zaman kolonialisme British dari tahun 1400 hingga 1786 di mana ianya adalah berpaksikan pada ajaran agama Islam yang diadakan di rumah-rumah guru, di masjid, surau, madrasah dan di institusi agama. Pelajar pada zaman tersebut mempelajari ilmu tauhid, Al-Quran, Fiqh, Hadith, Nahu, Sufi, Tasawwuf dan Akhlaq, Bahasa Arab dan Tulisan Jawi. Pada fasa kedua, iaitu semasa zaman kolonialisme British dari tahun 1786 hingga 1956 yang terbahagi kepada dua peringkat, iaitu sebelum perang dunia kedua dan selepas perang dunia kedua. Terdapat lima kategori dalam era pendidikan pada zaman ini iaitu, pendidikan rendah, pendidikan menengah, latihan perguruan, pendidikan vokasional dan teknik serta pendidikan tinggi.
Latihan perguruan semasa zaman kolonialisme British mempunyai beberapa masalah akibat daripada pengambilan guru-guru dari England bagi mengajar di sekolah-sekolah di Malaysia seperti:
1)    Tangga gaji yang rendah lalu menyebabkan ramai guru meletak jawatan dan berhenti perkhidmatan.
2)    Kecenderungan kaum perempuan yang rendah untuk menjadi guru.
3)    Situasi yang mengecewakan bagi latihan perguruan Melayu.

Walau bagaimanapun, masalah-masalah ini telah diambil perhatian apabila Jawatankuasa Wooley pada tahun 1870 telah mengkaji bahawa keperluan kepada lebih ramai guru yang terlatih dan mempunyai kelayakan tinggi. Masalah kekurangan guru terlatih diatasi melalui pembinaan maktab-maktab perguruan. Di samping itu, kekurangan bahan bacaan dan rujukan dalam bahasa Melayu telah diatasi apabila pihak British telah menubuhkan sebuah pusat yang dikenali sebagai Biro Penterjemahan yang terletak di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim pada tahun 1942.

Kemudiannya, sistem pendidikan di Malaysia terus berkembang seiring dengan anjakan masa ke masa dengan pelbagai lagi penambahbaikan. Berikut merupakan Rajah 2 yang menunjukkan penyata pendidikan selepas merdeka.

Rajah 2. Penyata/Laporan Pendidikan Selepas Merdeka.
(Dipetik daripada Choong, L.K (2009). Falsafah dan  Pendidikan    di Malaysia. Selangor: Kumpulan Budiman

Bagi penyata Rahman Talib 1960 telah menyatakan bahawa bagi mengatasi masalah kekurangan guru di Sekolah Pelajaran Lanjutan, Jawatankuasa Penyata Rahman Talib telah mencadangkan kepada pihak Kementerian Pelajaran supaya menganjurkan latihan separuh masa kepada guru-guru selama tiga tahun . Sekolah Pelajaran Lanjutan adalah sekolah yang menawarkan kursus vokasional selama tiga tahun kepada murid-murid yang gagal memasuki sekolah akademik bagi memperoleh kemahiran-kemahiran dalam bidang pekerjaan. Hal ini penting bagi memberi pengetahuan kepada guru-guru untuk mendidik para pelajar menjadi individu yang berilmu. Namun begitu, ianya tidak dapat dilaksanakan dengan sepatutnya lalu rancangan Sekolah Pelajaran Lanjutan telah dimansuhkan dan dibuat penambahbaikan dengan menggantikannya dengan Sistem Pendidikan Aneka Jurusan yang bermula pada tahun 1965 bagi sekolah-sekolah menengah rendah. Bagi penyata pendidikan yang lain adalah lebih menjurus kepada matlamat untuk memberi lebih kelebihan kepada murid-murid.

Seterusnya, bidang pendidikan di Malaysia terus menunjukkan perkembangan melalui pengubahsuaian dari semasa ke semasa. Rajah 3 yang berikut menunjukkan perkembangan semasa pendidikan sehingga tahun 2010.

 
Rajah 3. Pendidikan Semasa.
(Dipetik daripada Choong, L.K (2009). Falsafah dan  Pendidikan    di Malaysia. Selangor: Kumpulan Budiman

Berdasarkan Akta Pendidikan 1996, terdapat dua tujuan utama iaitu, memantapkan lagi sistem pendidikan kebangsaan bagi generasi muda sejajar dengan aspirasi Negara menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan yang bermutu tinggi dan menggariskan perundangan yang berkaitan dengan bidang pendidikan. Melalui perkembangan daripada Akta Pendidikan 1996 yang kemudiannya terhasillah Dasar Pendidikan Kebangsaan di mana misinya adalah membangunkan sistem pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia bagi mengembangkan potensi individu secara menyeluruh serta memenuhi aspirasi Negara Malaysia. Objektif daripada pelaksanaan misi Kementerian Pendidikan ini pula ialah seperti berikut:
1)    Melahirkan bangsa Malaysia yang bersifat taat setia dan bersatu padu.
2)    Melahirkan warga Malaysia yang berilmu, beriman, berakhlak mulia, berketerampilan dan sejahtera.
3)    Menyediakan sumber tenaga manusia untuk keperluan dan pembangunan Negara.
4)    Menyediakan peluang-peluang pendidikan yang sama bagi semua warga negara Malaysia.

Melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan dapat dilihat bahawa strategi pelaksanaan yang menjurus ke arah penglibatan guru ialah meningkatkan kemudahan pendidikan dengan meningkatkan kuantiti dan kualiti guru, bilangan guru siswazah dan guru terlatih. Hal ini memberi kelebihan kepada guru di mana golongan pendidik ini dapat menimba pengetahuan dan memperkembang maklumat-maklumat yang seterusnya menyumbang kepada kemajuan bidang pendidikan. 

            Setelah melihat perkembangan sistem pendidikan Malaysia dari era sebelum kemerdekaan sehingga zaman semasa dapatlah dilihat bahawa sistem pendidikan terus mengalami kepesatan melalui pengubahsuaian dasarnya. Begitulah yang berlaku berdasarkan artikel ‘Ke Arah Sistem Pendidikan Holistik’ yang saya pilih. Sistem pendidikan yang berkembang ini memberi impak kepada guru sama ada melalui aspek pengajaran guru mahupun tugas-tugas lain seperti sistem pengurusan fail dan menjadi pembimbing secara langsung kepada murid-murid. Terdapat sembilan bidang yang menjadi keutamaan kepada Kementerian Pelajaran bagi memastikan rombakan sistem ini berjaya menjadi sistem pendidikan yang berkualiti seperti yang diumumkan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu, guru, kepimpinan sekolah, kualiti sekolah, kurikulum dan pentaksiran, penguasaan pelbagai bahasa, peluang lepasan menengah, ibu bapa, komuniti dan sektor swasta, kecekapan dan keberkesanan sumber Kementerian Pelajaran dan kapasiti serta keupayaan penyampaian Kementerian Pelajaran. Kenyataan telah dikeluarkan melalui artikel daripada Utusan online yang bertarikh 15 Julai 2012.

            Terdapat banyak imbuhan yang telah diperuntukkan bagi menjayakan rombakan sistem pendidikan ini. Menurut Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, sebanyak RM6.4 billion telah diperuntukkan bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, kemudahan, peralatan dan memartabatkan profesion guru. Bagi pembahagian peruntukan ini sejumlah RM213 juta adalah bagi ganjaran untuk sekolah berprestasi tinggi serta sebagai imbuhan kepada pengetua atau guru besar dan guru cemerlang. Selain itu, RM250 juta diperuntukkan bagi sekolah bantuan modal agama, sekolah bantuan modal jenis kebangsaan Cina, sekolah kebangsan Tamil, sekolah bantuan modal mubaligh dan sekolah bantuan kerajaan. Menurut beliau lagi, peruntukan turut memberi bahagian kepada sekolah agama rakyat rendah dan menengah sebanyak RM95 juta. Seterusnya, bagi golongan pendidik pula kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM576 juta dalam bentuk biasiswa sebagai motivasi bagi menyediakan guru serta tenaga pengajar yang kompiten dan berkualiti agar dapat membimbing dan mendidik pelajar menjadi yang sebaiknya. Tambahan pula kerajaan turut menawarkan sebanyak RM213 juta bagi mengangkat martabat penguasaan bahasa Malaysia ke paras yang tinggi, mempersadakan bahasa Inggeris serta memperkemaskan Kurikulum Standard Sekolah Rendah.








3.0       IMPLIKASI

Kesan kepada rombakan sistem pendidikan ini akan menjadikan guru lebih kreatif dalam menguruskan proses pengajaran supaya dapat melahirkan pelajar yang berfikiran kritis. Hal ini bertepatan dengan artikel yang ditulis oleh J Sham Wahid di mana beliau menyatakan bahawa guru merupakan insan yang paling hampir dengan murid selain ibu bapa. Oleh yang demikian, guru memahami kehendak murid. Seiring dengan kenyataan tersebut telah dinyatakan bahawa guru yang kreatif bukan sahaja mengajar berlandaskan sukatan pelajaran yang disediakan oleh pihak Kementerian Pelajaran tetapi membuat penambahan maklumat semasa bagi setiap topik dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk membawa murid-murid lebih meneroka maklumat yang mereka peroleh bagi menjadikan ke arah pemikiran yang kritis. Hal ini akan menjadikan sifat ingin tahu murid-murid lebih terarah dengan rangsangan daripada guru. Situasi ini bertepatan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Loke Yim Pheng iaitu, kerajaan perlu memastikan rombakan sistem pendidikan terbabit memberi faedah terutama kepada semua pelajar.

Disamping itu, implikasi kepada guru dalam menjayakan rombakan sistem pendidikan ialah guru perlu mengubah teknik mengajar bagi melahirkan generasi muda yang mampu berfikir dan mempunyai kelebihan mengadaptasi ilmu bagi menghadapi cabaran pada masa akan datang. Hal ini disokong oleh artikel yang dikeluarkan oleh akhbar Berita Harian bertarikh 16 Mac 2012 di mana guru perlu mendidik pelajar untuk menjadi lebih kreatif dan kritis sebagaimana yang dikatakan oleh bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Diraja Ungku Aziz iaitu, sistem pendidikan yang baik haruslah menerapkan tiga nilai yang mana ialah kebolehan menulis dan membaca (literacy), kebolehan mengira (numeracy) dan ilmu berfikir (operacy). Perubahan teknik mengajar ini juga disokong melalui kenyataan daripada Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan bahawa sistem Negara perlu dirombak kerana sudah sampai ke satu tahap yang memerlukan perubahan terutama dalam aspek mengajar dan cara belajar. Pelbagai teknik pengajaran dapat digunakan oleh guru bagi merealisasikan kejayaan bagi rombakan sistem pendidikan yang menuju ke arah sistem pendidikan yang holistik. Kaedah pembelajaran yang telah dibangunkan oelh pihak kerajaan ialah Projek I-Think di mana ianya merupakan projek hasil usaha sama antara Kementerian Pelajaran dan Agensi Inovasi Malaysia. Tujuan Projek I-Think ini adalah untuk memupuk kemahiran pemikiran yang tinggi dan inovasi di peringkat sekolah rendah dan menengah. Projek I-Think kini juga menjadi sebahagian daripada modul di Institut Pendidikan Guru untuk memastikan bakal guru cukup terlatih dan bersedia bagi menyampaikan program ini selepas tamat pengajian.















.
4.0       CADANGAN

Kesan daripada rombakan sistem pendidikan yang berlaku, saya mencadangkan bahawa guru perlu lebih diberi pendedahan mengenai ilmu dan kemahiran supaya impak maksima dapat dicapai dalam menjayakan sistem pendidikan yang akan dirombak ini. Guru perlu terlibat dengan pelbagai latihan dalam perkhidmatan supaya guru sedar dengan peranan mereka dalam penglibatan secara langsung dalam melaksanakan dasar Negara. Ianya bertepatan dengan pandangan yang yang dilontarkan oleh Craft (1996), yang mana beliau menyatakan program latihan dalam perkhidmatan perlu diberi perhatian supaya guru dapat:
1)    Memperbaiki prestasi kemahiran kerja secara kumpulan dan individu.
2)    Memperbanyakkan pengalaman seseorang guru untuk perkembangan kerjaya dan juga untuk tujuan naik pangkat.
3)    Membentuk pengetahuan profesional.
4)    Meningkatkan pendidikan guru secara peribadi.
5)    Menyediakan guru untuk menghadapi perubahan.
6)    Menjelaskan dasar sekolah atau jabatan.

Berdasarkan implikasi yang dapat dilihat daripada rombakan sistem pendidikan bagi menuju ke arah sistem pendidikan holistik adalah perubahan dalam teknik mengajar. Oleh itu, guru perlulah diberi pendedahan Selain itu, saya mencadangkan supaya teknik sumbangsaran yang membawa maksud tumpuan ke atas sesuatu tajuk pada satu masa yang kemudiannya murid-murid akan menyumbangkan idea-idea tanpa sebarang sekatan. Cara pengendalian teknik sumbangsaran yang boleh dilakukan oleh guru ialah yang pertama guru mengajukan satu soalan atau masalah. Langkah yang seterusnya murid-murid akan memberikan beberapa kemungkinan kepada jawapan-jawapan dan kata-kata yangakan menjawab persoalan guru. Kemudiannya, jawapan-jawapan tersebut akan diberi penilaian sama ada berbentuk kritikan atau pujian. Sebagai guru, perlulah menguasai teknik pengajaran ini supaya tidak berlaku masalah seperti kawalan kelas yang tidak teratur.    

5.0       RUMUSAN

Secara kesimpulannya, perubahan sistem pendidikan yang dirombak bagi menuju ke arah sistem pendidikan yang holistik memberi impak positif kepada setiap individu yang berada dalam bidang pendidikan sama ada murid-murid mahupun setiap guru. Guru akan memperoleh manfaat hasil daripada rombakan sistem yang akan berlaku ini. Guru akan terlibat secara langsung dalam proses pembentukan murid-murid, modal insan yang berminda kelas pertama supaya terus memacu kemajuan Negara ke arah menjelang Negara maju pada tahun 2020. Hal ini bertepatan dengan Falsafah Pendidikan, iaitu:

“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan Negara.”
Reade More >>

Read Comments
  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Posted by Unknown
Newer Posts Older Posts Home
Subscribe to: Posts (Atom)



Tentang kita...

Unknown
View my complete profile

Masa umpama EMAS

Cuteki ecards

Hari Anda...

Cuteki ecards

Ikut kami...

Sudut ilmiah...

  • ▼  2012 (7)
    • ►  August (3)
    • ▼  September (4)
      • Artikel 1: Pendidikan Islam Dimantapkan
      • Artikel 2 : Pentaksiran Secara Holistik
      • Artikel 3: Ke Arah Sistem Pendidikan Holistik
      • ISU-ISU PENDIDIKAN : Memperkasa Pendidikan Islam
Powered by Blogger.
Copyright 2009 Pendidik Inovatif Generasi Berkualiti. All rights reserved.
WP Themes designed byEZwpthemes. Converted to Blogger by Blogger FAQs & Mobi123. Powered by Blogger